DARELL  (kanan) bersama  Chow  melihat salah satu komponen kapal terbang  pada pelancaran kilang SAM Engineering & Equipment (M) Berhad (SAMEE) di  Bukit Mertajam, semalam.
DARELL (kanan) bersama Chow melihat salah satu komponen kapal terbang pada pelancaran kilang SAM Engineering & Equipment (M) Berhad (SAMEE) di Bukit Mertajam, semalam.
Mohamed Basyir


BATU KAWAN: Malaysia meletakkan sasaran untuk menjadi negara aeroangkasa utama di Asia Tenggara menjelang 2030 dengan pendapatan tahunan RM55.2 bilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking berkata, kerajaan mengenal pasti sektor aeroangkasa sebagai salah satu industri pertumbuhan baharu berikutan evolusinya yang mengagumkan dan pertumbuhan masa depan yang amat besar.

Katanya, pada 2017 industri aeroangkasa Malaysia merekodkan pendapatan RM13.5 bilion dengan pembuatan aeroangkasa menyumbang 48 peratus daripadanya.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, sektor terbabit menyaksikan lonjakan dalam pelaburan dengan beberapa firma multinasional menubuh dan mengembangkan operasi di seluruh rangkaian kemudahan aeroangkasa yang sedang berkembang dan ini mempercepatkan lagi pertumbuhan rantaian bekalan tempatan.

“Antara peserta aeroangkasa global utama di Malaysia termasuk Airbus, Spirit AeroSystems, Safran Landing Systems, Honeywell Aerospace Avionics, Singapore Aerospace Manufacturing, GE dan UTC Aerospace Systems. Antara projek utama baru-baru ini adalah kemudahan baik pulih baharu GKN Aerospace dan pengembangan Senior Aerospace.

“Perkembangan positif ini juga menyebabkan kerajaan melihat industri aeroangkasa sebagai sektor kritikal yang menawarkan peluang luas bagi pemindahan teknologi model dalam kejuruteraan, elektronik, bahan komposit, integrasi sistem, MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) serta penyelidikan dan teknologi dipimpin industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran kilang SAM Engineering & Equipment (M) Berhad (SAMEE) bernilai RM140 juta untuk mengeluarkan komponen aeroangkasa bagi pesawat komersial Airbus di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Airbus dan Boeing mengunjurkan lebih daripada 40,000 pesawat baharu diperlukan menjelang 2037 dan daripada jumlah itu, 16,000 pesawat akan diserahkan kepada rantau Asia Pasifik.

Darell berkata, unjuran itu memerlukan sokongan ekosistem mantap bagi pembuatan aeroangkasa dan aktiviti MRO.

Beliau juga berkata, Airbus mengunjurkan nilai bagi 35,000 pesawat yang akan diserahkan di seluruh dunia dalam tempoh 20 tahun akan datang adalah AS$5 trilion.

Boieng pula menjangkakan nilai 41,000 pesawat yang akan diserahkan di seluruh dunia dalam tempoh sama sekitar AS$5 trilion, manakala permintaan bagi perkhidmatan sokongan angkatan pesawat bernilai AS$8.5 trilion.

Daripada jumlah itu, 4,000 pesawat baharu akan diserahkan ke rantau Asia Tenggara menjelang 2037.

“Di bawah Rancangan Malaysia ke-11, kerajaan mengenal pasti sektor aeroangkasa sebagai salah satu industri pertumbuhan baharu bagi Malaysia.

“Sasarannya adalah untuk mengalih ekonomi Malaysia daripada intensif buruh kepada ekonomi berasaskan aktiviti inovasi, pengetahuan bernilai tambah tinggi dengan tumpuan kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 9:55 AM