SHAMSUL Kamar
SHAMSUL Kamar
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Malaysia dilihat berada dalam landasan terbaik bagi menjadi peneraju aeroangkasa di rantau Asia Tenggara menjelang 2030 selari dengan matlamat yang digariskan kerajaan di bawah Pelan Induk Industri Aeroangkasa 2030.

Ketua Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) Shamsul Kamar Abu Samah berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan pendapatan bagi industri aeroangkasa negara yang mencatatkan peningkatan kepada RM13.5 bilion tahun lalu.

Menurutnya, eksport industri itu juga mencatatkan peningkatan 53 peratus kepada RM8.51 bilion pada tahun lalu berbanding RM5.53 bilion pada 2016 dipacu komponen pembuatan aeroangkasa yang membabitkan segmen aero struktur iaitu bahagian sayap pesawat.

“Pada tahun ini, kami jangkakan pertumbuhan lebih lima peratus daripada aspek pendapatan dan eksport aeroangkasa dibantu peningkatan eksport untuk komponen pesawat seperti Fan Cowl dan Cargo Door,” katanya di sini.

Industri aeroangkasa negara dibahagikan kepada lima komponen iaitu pembuatan aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), sistem integrasi, perkhidmatan kejuruteraan serta pendidikan dan latihan.

Beliau berkata, pada masa ini sektor pembuatan dan MRO menjadi penyumbang utama kepada industri aeroangkasa negara dengan sektor pembuatan menjana pendapatan RM6.4 bilion pada 2016 manakala MRO menyumbang RM6.23 bilion pada 2017.

“Kami masih belum mendapat jumlah pendapatan rasmi bagi sektor pembuatan aeroangkasa ini namun ia dijangka meningkat berdasarkan pertambahan pengeluaran bagi semua komponen pesawat dihasilkan di Malaysia.

“Untuk 2018, kami menjangkakan sektor pembuatan aeroangkasa mencatatkan pendapatan RM6.4 bilion manakala sektor MRO bakal terus berkembang dengan pendapatan RM6.5 bilion,” katanya.

Dalam sektor pembuatan aeroangkasa, Malaysia adalah pembekal utama bagi komponen sayap pesawat Airbus A320 dan Boeing 787 di rantau Asia Pasifik dengan penguasaan 55 peratus melalui kilang pengeluaran di Melaka, Sungai Buloh, Subang dan Bukit Kayu Hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 8:56 AM