ANTARA perserta yang menghadiri KLIABC di Menara MATRADE, semalam.
ANTARA perserta yang menghadiri KLIABC di Menara MATRADE, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan jumlah eksport produk aeroangkasa Malaysia akan mencapai peningkatan dua angka tahun ini berbanding RM2.9 bilion direkodkan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Wong Lai Sum berkata, pihaknya optimis industri aeroangkasa mencapai peningkatan setiap tahun walaupun industri itu belum matang sepenuhnya.

Katanya, prospek dalam industri aeroangkasa tempatan semakin signifikan dari tahun ke tahun yang mana sumbangan majoriti daripada produk bahagian dan kompenen pesawat.

“Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam bidang aeroangkasa dan industri ini dilihat boleh menjadi sektor pertumbuhan baru negara menjelang tahun 2030.

“MATRADE sebagai agensi penggalakan perniagaan nasional juga akan turut memberi tumpuan untuk mewujudkan lebih banyak peluang eksport kepada industri aeroangkasa di Malaysia,” katanya pada sidang media di Persidangan Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (KLIABC), di sini, semalam.

KLIABC bermula semalam hingga 29 April di Menara Matrade.

Hadir sama, Ketua Aeroangkasa Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Dr Abd Halim Abu Talib, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Phang Ah Tong, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Aerospace City (AAC), Zulkifli Osman dan Ketua Pegawai Operasi Strand Aerospace Malaysia, Naguib Mohd Nor.

Wong berkata, MATRADE bertekad untuk meningkatkan prestasi industri aeroangkasa negara, terutamanya dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) ke tahap yang lebih tinggi menerusi KLIABC.

Sementara itu, Phang berkata, Malaysia dijangka akan menjadi destinasi tumpuan bagi syarikat luar negara untuk industri aeroangkasa terutama dengan penubuhan tiga pusat Taman Aeroangkasa Antarabangsa iaitu di Subang (Selangor), Senai (Johor) dan Ipoh (Perak).

KLIABC membincangkan pengurusan rantaian bekalan, perolehan keperluan dan trend masa depan industri aeroangkasa di samping mesyuarat perniagaan di kalangan profesional, pengendali syarikat penerbangan, pengeluar dan pembekal pesawat.

Antara 24 negara yang terbabit ialah Mexico, Perancis, Amerika Syarikat, Singapura dan Vietnam manakala syarikat termasuk Airbus, Boeing, Rolls-Royce, Malaysia Airlines dan AirAsia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 7:23 AM