Bangunan Axiata di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Bangunan Axiata di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

UNTUNG bersih Axiata Group Bhd susut kepada RM132.07 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2018 daripada RM238.53 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

Perolehan juga susut kepada RM6 bilion daripada RM6.2 bilion sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axiata berkata, bagi suku yang dinilai, ringgit mengukuh berbanding mata wang serantau, yang membawa kepada kesan pertukaran mata wang asing yang merosot terhadap prestasi utamanya.

Kata syarikat itu, untung selepas cukai dan kepentingan minoriti juga susut 44.6 peratus kepada RM132.1 juta disebabkan oleh kerugian tukaran mata wang asing yang belum direalisasikan yang lebih tinggi daripada denominasi dolar AS dan kos kewangan yang tinggi.

Mengenai prospeknya, Axiata menjangka prestasinya secara amnya sejajar dengan Petunjuk Prestasi Utamanya.

Mengandaikan kadar mata wang yang tetap, Axiata menjangka perolehan berkembang 6.3 peratus untuk tahun kewangan 2018, sementara keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan dijangka berkembang 5.8 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 9:15 PM