MALAYSIA Airlines berjaya kekal kedudukan dengan prestasi stabil bagi tempoh suku dikaji.
MALAYSIA Airlines berjaya kekal kedudukan dengan prestasi stabil bagi tempoh suku dikaji.
Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) merekodkan prestasi menggalakkan dengan peningkatan pendapatan 0.3 peratus pada suku kedua 2018 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Walaupun berdepan peningkatan persaingan dan kelemahan permintaan terutama pada Ramadan, syarikat penerbangan kebangsaan itu meningkatkan pendapatan bagi setiap tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (RASK) sebanyak dua peratus untuk suku dikaji.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Izham Ismail berkata, Malaysia Airlines berdepan tempoh mencabar pada separuh pertama tahun ini ydisebabkan peningkatan harga bahan api sehingga 37 peratus berbanding tahun lalu.

Selain itu katanya, lebihan kapasiti yang meluas dalam industri mengakibatkan tekanan kepada permintaan dan hasil serta masalah kekurangan juruterbang antara cabaran didepani kumpulan itu.

“Meskipun demikian, syarikat berjaya mengekalkan kedudukannya dengan prestasi stabil seperti yang direkodkan pada suku dikaji.

“Ia disokong kecekapan yang lebih baik, kos pangkalan syarikat penerbangan yang kini menjadi salah satu paling rendah di antara pembekal rangkaian perkhidmatan utamanya.

“Untuk menangani tekanan luaran dan kekangan operasi dijangkakan, kami secara proaktif menjalankan latihan pengurusan kapasiti, mengurangkan kapasiti dan kekerapan pada laluan tidak menguntungkan yang menyaksikan RASK menurun lima peratus,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Izham berkata, pihaknya melakukan transformasi terbesar sejak tiga tahun lalu melalui pemotongan kos unit setanding sebanyak lima peratus dalam tempoh itu.

Katanya, syarikat penerbangan itu juga menunjukkan daya tarikan yang baik untuk tiga suku terakhir selepas prestasi lemah pada 2017 dengan hasil dan RASK menunjukkan peningkatan positif.

“Bagaimanapun, kami juga berdepan tekanan daripada kenaikan harga bahan api, naik turun tukaran mata wang asing dan lebihan kapasiti di pasaran domestik.

“Lebihan kapasiti ini menyebabkan kekurangan juruterbang di seluruh dunia yang semakin memburukkan keadaan dan menghalang pertumbuhan kumpulan.

“Namun, keputusan agak baik pada suku tahun ini hasil inisiatif kumpulan termasuk pengurusan kapasiti lebih baik serta memanfaatkan fleksibiliti angkatan pesawat milik kami untuk menguruskan kekangan operasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 4:00 AM