ABDUL Farid
ABDUL Farid
Amir Hisyam

Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank) menjangkakan tiga pasaran utamanya iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura terus mencatatkan pertumbuhan stabil tahun ini, selepas merekodkan prestasi terbaik tahun lalu.

Presiden Kumpulannya, Datuk Seri Abdul Farid Alias berkata, Maybank juga menetapkan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) sebanyak 11 peratus bagi pulangan ekuiti tahun ini.

Beliau berkata, Maybank bakal mendapat manfaat daripada momentum pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pemulihan sektor pembinaan di Singapura.

“Kumpulan menjangkakan pertumbuhan pinjaman di Indonesia akan disokong oleh persekitaran kadar faedah yang rendah dan projek infrastruktur kerajaan,” katanya dalam laporan tahunan kewangan 2017 Maybank.

Mengulas mengenai pasaran di Malaysia, Abdul Farid berkata, pertumbuhan pelaburaan dan penggunaan yang berterusan dijangka memacu ekonomi Malaysia manakala eksport dan import akan terus berkembang disokong oleh momentum pertumbuhan global.

Sebagai sebahagian daripada strategi 2018, Maybank akan kekal memberi tumpuan dalam mengekalkan margin terhadap kenaikan kadar di pasaran utamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 1:45 AM