EKUITI sumbangkan RM7.98 bilion kepada KWSP.
EKUITI sumbangkan RM7.98 bilion kepada KWSP.
Shahrizan Salian

Kuala Lumpur: Pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2018 meningkat 7.64 peratus kepada RM12.39 bilion, berbanding RM11.51 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, perang dagangan Amerika Syarikat (AS) - China yang semakin tegang dan kenaikan kadar faedah AS menyumbang kepada aliran keluar modal dari pasaran baru muncul, termasuk Malaysia hingga menyebabkan persekitaran perdagangan pasaran tempatan menjadi kurang memberangsangkan.

“Ketika pasaran maju seperti AS dan negara Eurozone mencatat keuntungan dalam pasaran ekuiti mereka, pasaran baru muncul termasuk Asia pula mencatatkan pulangan negatif.

“Memandangkan ASEAN antara yang mencatatkan prestasi terburuk, Malaysia juga tidak terkecuali daripada kemerosotan pasaran.

“Bagaimanapun, langkah mempelbagaikan pasaran dan sektor membolehkan KWSP merekodkan pencapaian konsisten di mana ekuiti muncul sebagai penyumbang utama pendapatan dalam suku tahun kedua,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada suku kedua 2018, ekuiti yang merangkumi 40.61 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP menyumbang RM7.98 bilion atau 64.44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dalam suku tahun berkenaan.

Sebanyak 52.09 peratus aset pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap yang terus memberikan aliran pendapatan konsisten dan stabil.

Mengulas prospek separuh tahun kedua, Mohamad Nasir berkata, ketidaktentuan pasaran global terus menyelubungi prospek sepanjang tahun berikutan risiko politik dan perubahan dasar yang berterusan seperti perubahan yang bakal berlaku ke atas dasar monetari, ketidaktentuan keputusan Brexit serta ketegangan perdagangan yang berterusan antara negara perdagangan utama.

“Dari segi domestik, prospek dijangka menjadi lebih baik berikutan pengurangan aliran keluar dana dan hala tuju dasar yang lebih jelas daripada kerajaan baru.

“KWSP kekal fokus dalam memberikan pulangan melebihi kadar inflasi, sekurang-kurangnya dua peratus melebihi kadar inflasi untuk tiga tahun berturut-turut bagi melindungi dan meningkatkan nilai simpanan persaraan ahli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 3:59 PM