BAZLAN Osman
BAZLAN Osman
Suffian A Bakar

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM102 juta pada suku kewangan kedua berakhir 30 Jun 2018, mewakili penyusutan 51.5 peratus berbanding RM210.5 juta suku sama tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan yang susut 1.5 peratus kepada RM2.94 bilion. Secara keseluruhan PATAMI terkumpul TM untuk tempoh separuh tahun pertama menyaksikan penyusutan 41.2 peratus kepada RM259.1 juta berbanding RM440.9 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Pendapatan separuh pertama susut 2.7 peratus kepada RM5.78 bilion berbanding RM5.94 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Bazlan Osman berkata, penyusutan itu disebabkan terutamanya oleh penurunan dalam perkhidmatan suara, data dan perkhidmatan berkaitan telekomunikasi lain serta peruntukan yang dikenal pasti berbanding hasil borong yang terkesan daripada penetapan harga akses oleh kawal selia.

“Tempoh separuh pertama 2018 adalah mencabar bagi kumpulan ini. Dengan landskap masa kini, perkara seperti perkembangan pantas pasaran sehinggalah kepada tekanan kawal selia, terus memberi lebih cabaran kepada prestasi kewangan kami,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan separuh tahun Kumpulan TM di sini, semalam.

Beliau berkata, jumlah perbelanjaan modal (capex) bagi separuh pertama 2018 TM adalah sebanyak RM710 juta atau 12.3 peratus daripada pendapatan.

Daripada keseluruhan pelaburan capex itu, 18 peratus diperuntukkan untuk rangkaian teras, akses (59 peratus), dan baki untuk sistem sokongan.

Bazlan berkata, menyedari potensi impak landskap semasa kepada TM, Julai lalu TM menyemak semula Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi 2018 serta panduan capex.

Bersama-sama semakan semula itu, TM melancarkan Program Peningkatan Prestasi 2018 (PIP 2018) sebagai inisiatif bagi menangani cabaran itu.

PIP 2018 dipandu empat teras utama iaitu peningkatan hasil, kadar keberuntungan yang mapan, aliran tunai lebih baik dan peningkatan produktiviti, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 9:52 AM