DR Loga (empat dari kiri) bersama Mohd Amin (tiga dari kiri),  SM Nasaruddin  (empat dari kanan),  SM Faisal  (tiga dari kanan) dan Timbalan Pengerusi Eksekutif, Naza Corporation Holding Sdn Bhd SM Faliq SM Nasimuddin (kanan) pada majlis pecah tanah projek naik taraf Jalan Tun Razak, semalam.
DR Loga (empat dari kiri) bersama Mohd Amin (tiga dari kiri), SM Nasaruddin (empat dari kanan), SM Faisal (tiga dari kanan) dan Timbalan Pengerusi Eksekutif, Naza Corporation Holding Sdn Bhd SM Faliq SM Nasimuddin (kanan) pada majlis pecah tanah projek naik taraf Jalan Tun Razak, semalam.
Azzman Abdul Jamal

Kuala Lumpur: Naza Engineering and Construction Sdn Bhd (Naza EC), anak syarikat Naza Group of Companies giat mengendalikan beberapa projek infrastruktur yang bernilai RM1.1 bilion.

Ketua Pegawai Operasi Projek Khas dan Kerajaan Naza EC Mohd Fuad Hashim berkata, syarikat turut membida projek lain, termasuk di luar negara dan kebanyakannya dijangka boleh dilaksanakan menjelang suku ketiga.

“Buat masa ini, syarikat hanya memberi tumpuan kepada pasaran tempatan,” katanya pada majlis pecah tanah projek naik taraf Jalan Tun Razak di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Bersama Naza Corporation Holdings Sdn Bhd SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz.

Naza EC memperoleh kontrak menaik taraf Jalan Tun Razak bernilai bernilai RM450 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mohd Fuad berkata, projek yang menghubungkan Jalan Langgak Golf hingga Bulatan Kampung Pandan itu merangkumi laluan tiga lorong sehala bertingkat sepanjang 2.8 kilometer.

Katanya, ia akan menghubungkan beberapa laluan lain iaitu Jalan Bukit Bintang, Jalan Kampung Pandan, Lebuhraya Maju (MEX), dan Lebuhraya Setiawangsa Pantai (SPE) yang kini masih dalam proses pembinaan.

“Projek ini akan mengurangkan kesesakan lalu lintas berterusan akibat dari pertambahan jumlah kenderaan pada waktu puncak di sepanjang Jalan Tun Razak yang menjadi laluan keluar utama dari pusat bandar.

“Tempoh projek ini memakan masa dua tahun bermula 10 Julai 2017 hingga 9 Julai 2019,” katanya

Mohd Fuad berkata, selain projek menaik taraf Jalan Tun Razak, Naza EC juga mempunyai projek membabitkan jalan raya dan jambatan di Bagan Datuk serta projek jalan raya sepanjang tujuh kilometer di Pengerang.

“Untuk 2018, kami mensasarkan tambahan projek bernilai RM2 bilion membabitkan projek jalan raya dan bangunan seperti hospital dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 9:55 AM