Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin pada sidang media pengumuman prestasi kewangan PETRONAS. FOTO Asyraf Hamzah
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin pada sidang media pengumuman prestasi kewangan PETRONAS. FOTO Asyraf Hamzah
Mahanum Abdul Aziz dan Nurhayati Abllah


PETROLIAM Nasional Berhad (PETRONAS) mencatatkan prestasi kewangan kukuh tahun lalu, sekali gus membolehkan syarikat minyak dan gas negara itu membayar dividen khas berjumlah RM30 bilion kepada kerajaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pengagihan dividen khas berkenaan dilakukan secara berperingkat pada tahun ini, bermula Januari lalu.

Beliau berkata, PETRONAS mencatatkan prestasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dengan keuntungan bersihnya meningkat 22 peratus kepada RM55.3 bilion, berbanding RM45.5 bilion tahun sebelumnya.

“Pendapatan diraih kumpulan pula meningkat 12 peratus kepada RM251 bilion berbanding RM223.6 bilion pada 2017,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan PETRONAS bagi 2018, di Kuala Lumpur, hari ini.

Di bawah Belanjawan 2019, komitmen dividen keseluruhan yang perlu dibayar PETRONAS berjumlah RM54 bilion bagi membantu kerajaan membayar tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion.

Wan Zulkiflee berkata, prestasi kukuh itu dipacu purata harga minyak lebih tinggi dan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selain disumbangkan oleh peningkatan kecekapan operasi serta kecemerlangan komersialnya.

"Kami berjaya mencatatkan kemajuan dalam strategi jangka panjang dan terus melabur untuk masa depan selain memberi tumpuan kepada pengembangan portfolio perniagaan teras dan meneroka peluang baharu termasuk dalam tenaga baharu.

“Selain itu, kami turut memperkukuhkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan yang berkembang maju serta berdaya tahan,” katanya.

Bagi suku keempat 2018, PETRONAS merekodkan bersih RM14.3 bilion, penurunan 21 peratus berbanding RM18.2 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan bagi suku dikaji meningkat 13 peratus kepada RM69.9 bilion, berbanding RM61.8 bilion pada tempoh sama 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 5:30 PM