KHAIRUSSALEH Ramli
KHAIRUSSALEH Ramli
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: RHB Bank Bhd (RHB Bank) memperuntukkan pelaburan bernilai RM200 juta bagi membangunkan program dan inisiatif digital kumpulan perbankan itu dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Khairussaleh Ramli berkata, menerusi pelancaran Program Transformasi Digital tahun lalu, kumpulan sentiasa komited dalam menjadi peneraju bank digital di samping meningkatkan pengalaman pelanggan.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya sudah memperkenalkan tiga produk iaitu aplikasi mudah alih RHB MyHome, RHB Smart Account dan i-Smart khusus bagi usahawan.

“Sebagai sebahagian perjalanan dalam program transformasi digital ini, pada separuh pertama tahun ini kami dijangka melancarkan sekurang-kurangnya tiga produk digital baru.

“Produk baru itu dilihat lebih berkaitan kepada segmen gadai janji dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berupaya meningkatkan kepuasan pelanggan RHB Bank.

“Buat masa ini kami tidak boleh mendedahkan mengenainya, namun apa yang boleh dikatakan ia menawarkan ciri berbeza berbanding produk sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-52 bank itu di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan RHB Bank, Syed Ahmad Taufik Albar.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, kumpulan perbankan itu mencatatkan untung bersih RM1.95 bilion berbanding RM1.68 bilion pada tahun sebelumnya.

Peningkatan 16 peratus itu dipacu pendapatan pembiayaan bersih, kerugian pinjaman rosot nilai yang rendah serta rosot nilai yang rendah bagi kerugian aset lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 1:13 AM