Yasmin (kanan) bersama Ketua Pegawai Operasinya, Zuraini Zulkifli menunjukkan aiskrim PopsMalaya keluaran Doluvo.
Yasmin (kanan) bersama Ketua Pegawai Operasinya, Zuraini Zulkifli menunjukkan aiskrim PopsMalaya keluaran Doluvo.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Doluvo Sdn Bhd, pengeluar aiskrim buah-buahan semula jadi jenama PopsMalaya merancang meluaskan pasarannya dengan memasuki pasar raya besar utama di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yasmin Karim berkata, pihaknya menyasarkan penjualan di 300 lokasi seluruh Malaysia bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2018.

Menurutnya, selain memberi tumpuan kepada pasaran tempatan, pihaknya turut mengintai peluang untuk meneroka pasaran antarabangsa.

“Buat masa ini, semua produk PopsMalaya boleh didapati di lebih 34 rangkaian Kedai Mesra Petronas dan perniagaan persendirian seperti butik pakaian dan kafe di sekitar Lembah Klang.

“Permintaan untuk aiskrim PopsMalaya semakin meningkat dan kami mahu memperluaskannya secara agresif dengan menyasarkan pasaran ke 180 Kedai Mesra Petronas serta pasar raya besar AEON Big pada November ini,” katanya.

Aiskrim PopsMalaya diperbuat 100 peratus daripada buah-buahan tempatan segar tanpa sebarang pengawet atau pewarna.

Beliau berkata, PopsMalaya mengandungi lapan perisa dalam bentuk pek berasingan iaitu mangga dan kacang pistacio, buah naga, oren, laici, tembikai susu, kelapa muda, limau dan coklat.

Menurutnya, syarikatnya turut mengeluarkan pek keluarga iaitu sekotak dengan enam batang aiskrim pelbagai perisa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 12:07 AM