BARKATH  (empat dari kanan)  ketika melancarkan pek minuman terbaru Sunquick.
BARKATH (empat dari kanan) ketika melancarkan pek minuman terbaru Sunquick.
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Kumpulan Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn Bhd (Barkath), syarikat pengeluar minuman jus Sunquick menyasarkan kenaikan 25 peratus jualan pasaran pek minuman baharu Sunquick.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Barkath, Datuk Seri Barkath Ali berkata, sasaran itu disandarkan apabila pek minuman istimewa itu mula berada dipasaran Oktober depan.

Beliau berkata, idea untuk melancarkan pek minuman terbaru itu tercetus apabila menjalinkan kerjasama dengan Co-Ro Foods A/S di Denmark dan bergabung menjadi Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn Bhd.

Katanya, syarikat Co-Ro Foods turut terbabit dalam proses pembuatan bagi pelbagai jenis minuman berasaskan buah-buahan dan kini Barkath Co-Ro Manufacturing terus melangkah ke hadapan bagi memastikan pemintaan pelanggan sentiasa ditambah baik.

“Produk Sunquick sebelum ini dinikmati seisi keluarga di seluruh dunia selama beberapa dekad dan setiap pelanggan boleh menikmati rasa buah dan kesegaran produk Sunquick dalam pelbagai cara.

“Dengan membabitkan kos bernilai RM20 juta, pek minuman Sunquick diperkenalkan dengan menampilkan empat perisa iaitu Epal, Beri, Mangga dan Oren,” katanya selepas Majlis Pelancaran Produk Terbaru Sunquick di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Presiden Co-Ro Manufacturing Wilayah Antarabangsa Gvet Olsen dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Barkath Anwar Kabir. Minuman jus Sunquick boleh didapati dalam dua saiz pilihan iaitu 125 mililiter (ml) dan 200ml manakala pek terbaru ini sesuai untuk kanak-kanak yang berusia antara empat hingga sembilan tahun.

Beliau berkata, pek minuman empat perisa itu diperkayakan dengan perisa buah-buahan yang sebenar dan minuman ini boleh didapati di kedai runcit utama di seluruh negara mulai Oktober ini.

“Produk terbaru ini juga bukan sahaja akan dipasarkan di seluruh negara, malah ia juga akan dieskport ke Brunei, Singapura, Filipina, Kemboja, Laos dan Vietnam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 7:02 AM