MOHAMMAD Nazim mencipta kelainan dengan menjual aiskrim tertera tulisan mengikut permintaan pelanggan.
MOHAMMAD Nazim mencipta kelainan dengan menjual aiskrim tertera tulisan mengikut permintaan pelanggan.
Redzuan Muharam


KUALA LUMPUR: “Ikutkan, idea itu datang sendiri tanpa sengaja dan tak sangka pula, sambutan diterima amat baik apabila ramai berminat untuk membuat tempahan,” kata Mohammad Nazim Suratman, 40 yang mencipta kelainan dengan menjual aiskrim Malaysia tertera tulisan mengikut permintaan pelanggan.

Mohammad Nazim yang berasal dari Ayer Baloi, Pontian, Johor berkata, perniagaan itu dijalankan sejak dua tahun lalu dengan bantuan isterinya Nor Saadah Musuroh, 41.

Katanya, pada awalnya, dia hanya menjual aiskrim Malaysia pelbagai perisa biasa, tetapi keinginan mencipta kelainan memberinya idea untuk mengeluarkan pencuci mulut itu dalam corak belang dan tertera tulisan supaya kelihatan lebih hipster.

“Aiskrim Malaysia ini amat dekat dengan saya dan kebanyakan mereka yang membesar pada era 1980-an hingga 1990-an kerana ia adalah pencuci mulut kegemaran ramai ketika itu.

“Malah, sehingga kini, pasti ramai yang masih menggemarinya dan memandangkan rumah saya terletak berhadapan sekolah, isteri memberi idea untuk menjual aiskrim Malaysia.

“Mulanya, saya dan isteri membuat aiskrim berperisa buah-buahan saja kemudian mempelbagaikannya dengan menambah lagi perisa antaranya coklat dalam bentuk belang dan yang tertera tulisan,” katanya.

Mohamad Nazim mengakui ramai berminat mengetahui kaedah digunakan untuk membuat aiskrim berkenaan kerana kelihatan lain berbanding yang pernah ada di pasaran.

Namun, Mohamad Nazim berkata, dia sekadar menggunakan kreativiti yang ada tanpa mempelajarinya daripada sesiapa.

“Saya gemar mencuba sesuatu yang baru jadi setiap kali mendapat idea, saya terus lakukannya dan Alhamdulillah, banyak maklum balas positif diterima.

“Bermula dengan tempahan dari rakan terdekat, perniagaan saya kini sedikit berkembang apabila sudah mendapat permintaan untuk membuat aiskrim dalam kuantiti banyak sempena sambutan hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan kejohanan sukan tahunan di sekolah.

“Kebiasaannya, pelanggan meminta menulis nama pasangan, guru dan ayat ringkas. Setiap batang aiskrim tertera tulisan berperisa coklat, jagung coklat, bandung coklat dan ‘blue’ coklat dijual dengan harga RM1 manakala corak belang 70 sen dan perisa buah-buahan 50 sen,” katanya.

“Kaedah jualan saya pula adalah dengan meronda sekitar perumahan dan bandar sebelum ke Tambak, Pontian pada sebelah petang dan tiada caj penghantaran dikenakan untuk pelanggan yang membuat tempahan,” katanya.

Mohamad Nazim yang turut mengusahakan ternakan ayam belanda berkata, berikutan tempahan banyak, dia berdepan cabaran untuk membekukan aiskrim berkenaan dalam kuantiti yang banyak.

“Jadi, saya bercadang mengajak mereka yang berminat untuk turut serta memandangkan perniagaan ini memang boleh menjana pendapatan walaupun ia nampak seperti kecil-kecilan.

“Secara tidak langsung, saya dapat membuka peluang kepada orang lain untuk menceburi bidang keusahawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 7:00 AM