SAIFUL  (kiri) bersama pes nangka Mastura.
SAIFUL (kiri) bersama pes nangka Mastura.
AISKRIM PASFA Arto yang dihasilkan PASFA menggunakan nangka Mastura di Kawasan Perindustrian Songsang.
AISKRIM PASFA Arto yang dihasilkan PASFA menggunakan nangka Mastura di Kawasan Perindustrian Songsang.
Mohd Rafi Mamat

Temerloh: Penggunaan 100 tan nangka jenis J33 dan Mastura sebulan bagi menghasilkan aiskrim PASFA Arto serta pes dapat mengatasi lambakan buah berkenaan yang banyak dihasilkan di negeri ini.

Pengurus kilang pengeluaran aiskrim nangka Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) Saiful Hafiz Ahmad berkata, bagi memenuhi permintaan, pihaknya turut menyediakan nangka sedia dimakan untuk pasaran tempatan.

Katanya, kilang yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Songsang, di sini, memerlukan lebih satu tan nangka jenis J33 dan Mastura sehari bagi menghasilkan aiskrim, pes serta nangka sedia dimakan.

Katanya, PASFA turut bertindak sebagai pembekal nangka segar kepada syarikat di Rawang, Selangor yang menghasilkan beberapa produk hiliran seperti jem untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Pengeluaran nangka di negeri ini dua kali setiap tahun iaitu pada Mei hingga Julai dan kemuncaknya pada November hingga Disember. Jika tidak ada usaha mempelbagaikan produk, lambakan akan berlaku.

“Justeru, PASFA mengambil pendekatan menghasilkan aiskrim PASFA Arto dan pes sejak awal tahun ini khusus untuk pasaran tempatan. Sambutan terhadap produk berkenaan begitu menggalakkan,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Saiful Hafiz berkata, nangka Mastura banyak ditanam di daerah ini, Maran dan Raub namun kini nangka jenis J33 mendapat permintaan menggalakkan peminat buah-buahan tempatan dari dalam dan luar negara.

Katanya, sebelum ini kebanyakan pekebun yang menanam nangka jenis Mastura hampir berputus asa selepas setiap tahun berlaku lambakan hingga ada yang bertindak menukar tanaman lain.

Namun, katanya, selepas PASFA berjaya membuka kilang menghasilkan aiskrim dan pes, lambakan buah tidak berlaku lagi.

“Kita menyasarkan 3,000 cawan aiskrim nangka dikeluarkan sehari pada tahun depan hanya untuk pasaran tempatan.

“Aiskrim nangka mempunyai penggemarnya dan usaha mempromosi akan terus dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 6:13 AM