ZURAINI (kiri) dan Yasmin menunjukkan aiskrim Pops Malaya pelbagai perisa.
ZURAINI (kiri) dan Yasmin menunjukkan aiskrim Pops Malaya pelbagai perisa.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Pops Malaya, syarikat pembuatan aiskrim daripada buah segar 100 peratus semulajadi menyasarkan jualan sehingga 5 juta batang aiskrim menjelang akhir tahun ini berbanding hampir satu juta batang sejak 2013 hingga Disember tahun lalu.

Pemilik bersamanya, Zuraini Zulkifli berkata, angka itu yakin diperoleh memandangkan syarikatnya bakal meletakkan sasaran setiap stokis untuk menjual secara purata 2,000 batang aiskrim sebulan dalam tempoh setahun.

“Buat masa sekarang, kami mempunyai 120 stokis di mana 60 daripadanya terdiri daripada stokis bergerak seperti suri rumah dan 60 lagi stokis fizikal termasuk farmasi, klinik gigi, butik pakaian dan cafe.

“Menjengah ke penghujung tahun ini, kami bercadang mempunyai sebanyak 600 stokis di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk jumlah stokis sedia ada sejajar matlamat syarikat memberi tumpuan utama terlebih dahulu terhadap pasaran di kawasan ini,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, rakan Pemilik Bersamanya, Rose Yasmin Abd Karim berkata, bagi memperkukuh lagi jenama Pops Malaya, pihaknya merancang menampilkan lapan perisa aiskrim dalam bentuk ‘gelato’ berasaskan susu tenusu pada Mac ini.

“Sepanjang beroperasi, kami telah menghasilkan lebih 40 perisa, namun berdasarkan respon daripada pelanggan, kami hanya mengekalkan lapan perisa sahaja antaranya gabungan tembikai laici, buah naga, coklat, oren, limau dan lain-lain.

“Istimewanya aiskrim keluaran Pops Malaya adalah ketahanannya selama enam bulan kerana ia diperbuat daripada buah-buahan sebenar, herba segar, rempah-ratus dan gula tebu organik tanpa mengandungi sebarang pengawet, bahan kimia, bahan tiruan serta campuran air,” katanya.

Menurutnya, bagi menampung permintaan pasaran yang semakin meluas, Pops Malaya akan menambah mesin pembuatan baru untuk memenuhi kawasan kilang mininya yang sedang diperbesarkan serta sedang menunggu kelulusan permohonan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain itu, syarikat berkenaan turut mengalu-alukan pembabitan orang ramai yang berminat menceburi bidang perniagaan dan menjana pendapatan sampingan dengan menyertai perusahaan terbabit. Maklumat lanjut boleh diajukan serta diperolehi di instagram @popsmalaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 6:43 AM