HM Digital

Kuching: Jika dilihat secara luaran, peket kecil yang terpapar gambar buah-buahan pasti dianggap ekstrak minuman tanpa menyangka ia sebenarnya adalah ‘jus khayal’ mengandungi Ecstasy.

Taktik itu digunakan sindiket bagi ‘menghalalkan’ kegiatan haram mereka dengan menyasarkan pusat hiburan di sekitar bandar ini sebagai lokasi pengedaran sejak sebulan lalu.

Hasil risikan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak menahan tiga lelaki berusia 28 hingga 42 tahun di parkir sebuah kondominium berhampiran Jalan Stutong, di sini, Selasa lalu yang dipercayai terbabit dengan jualan barangan terlarang itu.

Ketua JSJN Sarawak Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, hasil serbuan itu, polis merampas lima peket ekstrak jus buah-buahan dicampur Ecstasy dianggarkan bernilai RM1,250.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek berusia 42 tahun yang bekerja sebagai kontraktor adalah dalang utama sindiket pengedaran bahan terlarang itu sejak sebulan lalu.

“Suspek dipercayai mendapat bekalan dadah itu daripada sindiket berpangkalan di Semenanjung sebelum membawa masuk ke negeri ini dalam jumlah yang kecil.

“Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, dadah itu dicampur dengan ekstrak jus buah-buahan sebelum dibungkus dalam bungkusan kecil dengan perisa tertentu seperti oren, mangga dan betik,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sahar berkata, mengenai cara menggunakan dadah itu, ekstrak jus buah-buahan berkenaan boleh dilarutkan dengan air ataupun tanpa air bagi mendapatkan kesan khayal segera.

“Semua suspek termasuk seorang warga China direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 6:59 AM