MOHAMED Khaled  (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran memorendum persefahaman antara  Ismail  (kiri) dan  Pengarah Eksekutif Operasi SAS Institute Sdn Bhd, Sheikh Manzoor Ghani  di Johor Bahru, semalam.
MOHAMED Khaled (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran memorendum persefahaman antara Ismail (kiri) dan Pengarah Eksekutif Operasi SAS Institute Sdn Bhd, Sheikh Manzoor Ghani di Johor Bahru, semalam.
Mohd Sabran Md Sani

Iskandar Puteri: Iskandar Malaysia yakin mampu mencapai sasaran pelaburan komited berjumlah RM30 bilion menjelang akhir tahun ini dengan mengambil kira pertumbunan pesat membabitkan hartanah, pelabur baru dan sedia ada.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, keyakinan itu mengambil kira pertumbuhan Iskandar Malaysia ketika ini yang merekodkan pelaburan komited terkumpul berjumlah RM19 bilion sehingga Ogos lalu.

“IRDA meraih pelaburan komited terkumpul daripada pelabur domestik dan asing berjumlah RM242 bilion dan ia dicatatkan dari 2007 sehingga Ogos lalu.

“Justreru, IRDA tidak hanya mencapai pelaburan komited berjumlah RM25 bilion, tetapi melebihi sasaran yang diletakkan iaitu berjumlah RM30 bilion,” katanya pada sidang media selepas program perasmian Simposium Pelaburan Iskandar Malaysia 2017, di sini, semalam.

Simposium berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Seramai 600 peserta membabitkan industri dan sektor awam menyertai program dua hari bermula semalam bagi berkongsi mengenai perkembangan terkini, dasar kerajaan serta strategi dalam usaha menarik pelaburan baru ke wilayah ekonomi itu.

Ismail berkata, pihaknya bersedia mempertimbangkan pelaburan dipacu menerusi kumpulan milenial pada masa akan datang,

“Mengambil kira populasi penduduk di Iskandar Malaysia dijangka meningkat dari 1.9 juta kepada tiga juta orang bagi tempoh kurang dari 10 tahun, maka sudah pastinya golongan itu akan berkembang,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kumpulan milenial akan menjadi pemacu ekonomi baru yang mempunyai jaringan besar terhadap teknologi terkini serta jaringan media sosial yang lebih luas.

“Biar saya tunjukkan jangkauan semasa media sosial. Sehingga Ogos lalu, Facebook (FB) mempunyai 2 bilion pengguna aktif, dengan YouTube menduduki tempat kedua iaitu 1.5 bilion pengguna.

“Jika kedua-dua laman berkenaan adalah negara, ia akan menjadi negara pertama dan kedua terbesar di dunia,” katanya,

Beliau berkata, secara fakta kumpulan milenial menjadi generasi terbesar di dunia berjumlah 1.8 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 8:07 AM