IKANDAR Malaysia di Johor memperoleh pelaburan bernilai RM10 bilion bagi suku ketiga tahun ini menjadikan komitmen pelaburan kumulatif sejak pelancarannya pada 2006 hingga 30 Sept tahun ini berjumlah RM156.35 bilion.

Daripada jumlah itu, RM77.17 bilion atau 49 peratus mewakili pelaburan yang sudah direalisasikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelabur, baik tempatan mahupun asing, seperti yang dipapar oleh angka pelaburan, sangat berminat terhadap Iskandar Malaysia yang semakin membentuk.

“Kami sentiasa berusaha menarik lebih banyak pelaburan bagi sektor-sektor yang dipromosikan bagi memastikan kualiti kehidupan penduduk Iskandar Malaysia dinaikkan dan dilestarikan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Mohamed Khaled juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim, berkata sektor kreatif terus tumbuh dalam suku ketiga dengan pelaburan oleh Astro Production Sdn Bhd (APSB) menerusi Pinewood Iskandar Malaysia Studios (PIMS).

“Jarak Iskandar Malaysia yang dekat dengan Singapura adalah nilai tambah bagi APSB untuk menarik studio antarabangsa berpangkalan di republik itu sebagai pelanggan berpotensi.

“Selain itu, industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta hospitaliti di Iskandar Malaysia juga akan beroleh manfaat daripada perjanjian selama lima tahun itu,” katanya.

Beliau berkata, PKS harus memanfaatkan pelbagai bantuan seperti dana khas dan perkongsian pelaburan yang diumum dalam Bajet 2015 bagi mempertingkat penyertaan mereka dalam pembangunan Iskandar Malaysia.

Ismail berkata, 63 peratus atau RM98.85 bilion daripada komitmen pelaburan kumulatif adalah pelaburan domestik manakala baki bernilai RM57.49 bilion daripada pelabur asing.

“Lima negara teratas dengan jumlah pelaburan tertinggi di Iskandar Malaysia bagi tempoh Januari hingga September ialah Singapura, Amerika Syarikat, Sepanyol, Jepun dan China,” katanya.

Beliau berkata, IRDA akan terus bekerja dengan pihak berkaitan dalam kerajaan dan swasta bagi memastikan kemasukan pelaburan ke Iskandar Malaysia dapat dilestarikan.

“Paling penting, pelaburan bukan sahaja membawa nilai kepada rantau ini tetapi juga merangsang sosioekonomi untuk manfaat penduduk setempat dengan menyediakan peluang pekerjaan dan menyokong peluang perniagaan,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 12:36 AM