SEBAHAGIAN aktiviti bersama kanak-kanak yatim.
SEBAHAGIAN aktiviti bersama kanak-kanak yatim.
Fazurawati Che Lah


DALAM usaha memenuhi tanggungjawab dan komitmen terhadap komuniti yang memerlukan, Management and Science University (MSU) melalui International Medical School (IMS), kampus Bangalore, India menjalankan aktiviti sukarelawan di pinggir Bangalore.

Program anjuran pelajar International Medical School (IMS) itu membabitkan penyertaan kira-kira 50 peserta.

Usaha murni pelajar itu memberi tumpuan kepada rumah kebajikan, madrasah dan masjid termasuk Madrasa E Mousinat di Devanahalli, E-Taha Masjid di Mathikere serta Islamic Information Centre di Kauser Nagar.

PESERTA MSU gembira ketika melakukan aktiviti.
PESERTA MSU gembira ketika melakukan aktiviti.

Pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan antaranya sumbangan bantuan wang tunai dan barangan keperluan.

Ia membabitkan sumbangan daripada pelajar, agihan wang zakat Yayasan MSU, ceramah motivasi dan pendidikan, ceramah kesihatan, gotong-royong membersihkan masjid dan rumah kebajikan serta sukaneka bersama anak-anak yatim.

Program itu memberi peluang kepada pelajar untuk aktif dalam aktiviti pembangunan komuniti dan kesukarelawanan.

Selain itu, program itu juga bertujuan untuk memperkasakan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar dan melahirkan kelompok graduan holistik serta prihatin terhadap isu kemasyarakatan.

Peserta Muhammad Azim Othman berkata, program itu berjaya mengukuhkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan peserta dan memperkasakan jalinan antara warga kampus dengan komuniti.

“Program ini juga memberi kami ruang untuk berbakti kepada mereka yang memerlukan seterusnya memberikan pengalaman bagaimana untuk berinteraksi dengan masyarakat.

“Aktiviti ini sesuai dengan keadaan kami sebagai pelajar perubatan yang mana ruang lingkup kerja adalah berkait rapat dengan orang ramai,” katanya.

AGIHAN barang keperluan yang disediakan MSU.
AGIHAN barang keperluan yang disediakan MSU.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:15 AM