POSTER larangan merokok ditampal di Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak. FOTO Abdullah Yusof
POSTER larangan merokok ditampal di Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak. FOTO Abdullah Yusof
Fazurawati Che Lah


KETEGASAN Kementerian Kesihatan dalam menguatkuasakan peraturan menjadikan premis makanan sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Januari lalu amat dipuji.

Semua pihak sedia maklum premis makanan sememangnya kawasan larangan merokok selama ini, tetapi tiada iltizam, kesungguhan politik dan penguatkuasaan yang berani untuk menjadikannya benar-benar sebagai sebuah kawasan larangan merokok yang digeruni oleh perokok untuk mencerobohnya dengan asap mereka.

Selepas bermula dengan baik di premis makanan dan dalam bangunan Parlimen, baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan bercadang memperluaskan larangan merokok di semua institusi pengajian tinggi di negara ini.

Dijangka pelaksanaannya berkuat kuasa tahun ini juga dan akan meliputi semua universiti sama ada awam mahupun swasta.

Pegawai Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Zaini Othman, berkata penguatkuasaan larangan merokok di kampus akan mewujudkan keadaan kampus bebas tanpa rokok. Senario mudahnya ialah, tidak akan berlaku lagi sebarang aktiviti menghisap rokok atau vape di mana-mana kawasan di kampus.

“Penguatkuasaan kampus sebagai kawasan larangan merokok oleh Kementerian Kesihatan sedikit masa lagi akan memberi kesan yang amat baik kepada persekitaran kampus.

PELBAGAI aktiviti sihat boleh dilakukan pelajar.
PELBAGAI aktiviti sihat boleh dilakukan pelajar.

“Kesan awal yang dapat dilihat kelak adalah ia akan mewujudkan persekitaran kampus kondusif untuk proses pembelajaran dan pengajaran kepada mahasiswa. Sebagai sebuah institusi keilmuan, menjadi sesuatu yang kontra dan janggal jika mereka yang berada di dalamnya terkait menyumbang kepada gejala tidak sihat dan memudaratkan kesihatan warga kampus,” katanya.

Oleh itu, katanya, apabila mahasiswa tidak terdedah dengan rokok secara langsung di kampus, fokus mereka kepada aktiviti kuliah tidak terganggu, persekitaran juga pastinya lebih bersih dan segar.

“Aspek penjimatan kewangan peribadi warga kampus juga boleh berlaku kerana kekerapan merokok dalam sehari itu dapat dikurangkan secara signifikan,” katanya.

Katanya, jumlah perokok di Malaysia kini sekitar 24 peratus atau lima juta orang.

“Ini jumlah yang sangat besar dan membawa masalah kesihatan yang memerlukan kos besar.

“Setiap tahun pada 31 Mei adalah Hari Tanpa Tembakau Sedunia dengan Malaysia menyasarkan jumlah perokok di negara ini dapat diturunkan kepada 15 peratus menjelang 2025 dan kepada kurang lima peratus pada 2045,” katanya.

APABILA mahasiswa tidak terdedah dengan rokok secara langsung di kampus, fokus mereka kepada aktiviti kuliah pasti tidak terganggu.
APABILA mahasiswa tidak terdedah dengan rokok secara langsung di kampus, fokus mereka kepada aktiviti kuliah pasti tidak terganggu.

Jelasnya, langkah Kementerian Kesihatan itu tidak menjadi halangan dan kekangan untuk dilaksanakan USIM kerana universiti sudah menguatkuasakan kampus larangan merokok dan vape sejak 1 Januari 2016 lagi.

Pada tahun lalu juga, USIM turut menerima penghargaan Anugerah Sijil Blue Ribbon dari Kementerian Kesihatan kerana komited dalam melaksanakan kempen Blue Ribbon yang digerakkan kementerian berkenaan.

Katanya, keseriusan itu ditunjukkan dengan pihak USIM memberi kepercayaan kepada Pusat Kesihatan Universiti (PKU) untuk menerajui pelaksanaan kempen terbabit.

“Banyak program dan aktiviti yang dilaksanakan bagi memastikan USIM sebagai Kampus Larangan Merokok dan vape antaranya ceramah berkenaan kanser, Klinik Berhenti Merokok yang diadakan setiap Rabu, melantik pegawai penguatkuasa dalam kalangan staf dalaman universiti, mengenakan bayaran kompaun dan melaksanakan aktiviti kempen kesedaran tidak merokok serta berhenti merokok menerusi kerjasama dengan pihak yang berkaitan,” katanya.

Zaini berkata, penguatkuasaan kampus sebagai kawasan larangan merokok juga perlu diiringi dengan tindakan berbentuk advokasi dan pendidikan kepada warga kampus mengenai bahana merokok ini.

“Kerajaan sebelum ini mendidik secara halus masyarakat untuk menjauhi rokok seperti menaikkan harga rokok, tidak boleh menjual rokok dalam pakej kecil dan memperluas tempat larangan merokok (termasuk rumah bebas rokok).

PENUNTUT cemerlang mampu dilahirkan.
PENUNTUT cemerlang mampu dilahirkan.

“Bagaimanapun, bagi memastikan segala usaha ini menghasilkan pencapaian yang diharapkan, usaha ini perlu mendapat sokongan banyak pihak termasuk warga kampus.

“Kami ingin persekitaran dan udara yang bersih di dalam kampus untuk semua. Oleh itu, ia memerlukan kerjasama semua pihak dalam membangun budaya ini yang digerakkan secara holistik dan mampan oleh pensyarah, Majlis Perwakilan Pelajar, pentadbir dan pelbagai entiti lain di kampus,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat, Selangor Mgt Husain Mgt Jaaffar berkata, secara dasarnya institusi pengajian tinggi awam diwartakan sebagai kawasan larangan merokok, namun penambahbaikan perlu dilakukan iaitu pemantauan di kawasan terlindung.

“Kawasan yang agak terlindung seperti tangga dan tandas perlu dipantau kerana sering dijadikan tempat untuk pelajar merokok secara tersembunyi.

“Mungkin kawasan itu perlu diletakkan kamera litar tertutup (CCTV) atau pengawal selia di kawasan yang berpotensi untuk pelajar merokok,” katanya.

Beliau percaya, usaha ini memberikan mesej yang tegas yang kerajaan dan masyarakat komited menghapuskan tabiat merokok.

Katanya, bagi jangka masa panjang, kelompok remaja seperti pelajar pengajian tinggi akan mendapat manfaat paling besar, seterusnya membantu membentuk kelompok generasi lebih sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 2:10 PM