PERANTI yang menjadi kegilaan rakyat Jepun bagi menghilangkan ketagihan merokok.
PERANTI yang menjadi kegilaan rakyat Jepun bagi menghilangkan ketagihan merokok.
Mohd Rizal Abdullah

KUALA LUMPUR: Perjalanan hampir sembilan jam dari Kuala Lumpur ke Tokyo memang meletihkan namun sebaik menjejaki kaki di bumi matahari terbit itu, penulis teruja apabila mendapati keadaan persekitaran yang bersih, tersusun selain rakyatnya yang berdisiplin dengan kesopanan yang tinggi.

Sebagai perokok, tempat pertama dicari sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneeda pastinya bilik merokok.

Menjadi lumrah bilik merokok kebiasaannya dipenuhi abu rokok dengan bau ‘terperap’, tetapi tidak di Jepun.

Ia memberikan tanda tanya kepada penulis apakah ada mesin elektronik yang membersihkan bilik berkenaan kerana hampir tiada ‘secubit’ abu di lantai malah di tong sampah, melainkan puntung rokok.

Situasi sama boleh dilihat ketika penulis memasuki bilik merokok di dalam Shinkansen atau tren berkelajuan tinggi yang juga dikenali sebagai bullet train.

Bagaimanapun, rahsianya bukan pada mesin pembersih berteknologi tinggi, tetapi pada ‘orang mereka’ di mana kebanyakan perokok di sini tidak menghisap rokok konvensional tetapi menggunakan satu peranti yang tidak mengeluarkan abu dan tiada asap.

MESIN menunjukkan kadar bahan kimia dalam peranti  kurang berbanding rokok konvensional.
MESIN menunjukkan kadar bahan kimia dalam peranti kurang berbanding rokok konvensional.

Ia bukan rokok elektronik, tetapi peranti yang sekadar memanaskan tembakau tetapi tidak membakarnya seperti rokok biasa.

Peranti itu menjadi pilihan rakyat negara itu kerana ia dilaporkan 90 peratus kurang bahan kimia selain sebagai alternatif bagi berhenti merokok sejak 2014.

Jepun antara negara yang serius dalam usaha mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyatnya apabila mengetatkan peraturan larangan merokok sedia ada selain menaikkan denda merokok sehinggga 300,000 JPY (RM11,105.40) berkuat kuasa April 2020.

Terbaharu, semua tempat pertandingan menjelang Sukan Olimpik Jepun 2020 juga diumumkan sebagai kawasan bebas asap rokok sepenuhnya membabitkan rokok konvensional mahupun elektronik.

Untuk rekod, 5.4 juta perokok di negara ini menggunakan peranti berkenaan dan 3.4 juta daripada mereka sudah berhenti menghisap rokok konvensional dan menukar kepada peranti itu sepenuhnya.

Keseriusan rakyat Jepun dalam usaha mengurangkan ketagihan merokok terbukti apabila ada syarikat terkemuka Jepun turut menyokong penggunaan peranti berkenaan berbanding rokok konvensional.

Antaranya Fuji Transport iaitu syarikat pengangkutan terbesar Jepun yang berpangkalan di bandar Nara dengan kakitangan seramai 1,700 orang dengan 1,420 unit lori kargo.

Presidennya, Hiroaki Matsuoka berkata, seramai 672 pemandu lori di syarikatnya merokok iaitu tabiat yang sukar dihentikan.

Menurutnya, disebabkan tabiat itu, ia menimbulkan banyak masalah antaranya ketidakselesaan pelanggan selain bau lori yang busuk dan kotor.

“Saya tidak boleh mengarahkan mereka terus berhenti merokok tetapi menyarankan mereka berubah kepada rokok alternatif.

“Selepas peranti ini diperkenalkan, seramai 412 daripada mereka beralih kepadanya, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk terus berhenti merokok,” katanya.

Bukan itu sahaja, lebih 43,000 premis termasuk bar dan restoran di Jepun turut membenarkan dan menyediakan ruang khas untuk pengguna peranti ini di premis berkenaan.

Malah sesetengah bandar di Jepun antaranya Osaka, Kyoto dan Nagoya membenarkan penggunaan peranti ini di tepi jalan berbanding rokok konvensional iaitu perbuatan yang sama sekali dilarang dilakukan dan boleh didenda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 6:30 AM