GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hairulazim Mahmud


CUKAI import rokok dan arak mungkin akan dinaikkan pada pembentangan Bajet 2020.

Cukai import berkenaan tidak dinaikkan dalam tempoh 15 tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, syor berkenaan adalah antara inti pati penting yang sedang diteliti pihaknya untuk dicadangkan kepada Kementerian Kewangan.

“Itu juga antara cadangan Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kesedaran Persekitaran Bebas Amalan Merokok di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Datuk Dr Aini Ideris, Presiden MCTC Prof Datuk Dr Lekhraj Rampal dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur dan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM Prof Dr Zamberi Sekawi.

DR Dzulkefly (dua dari kanan) ketika merasmikan Konvensyen Kesedaran Persekitaran Bebas Amalan Merokok sambil disaksikan Dr Aini (dua dari kiri), Dr Lekhraj (kanan) dan Dr Zamberi (kiri). FOTO Bernama
DR Dzulkefly (dua dari kanan) ketika merasmikan Konvensyen Kesedaran Persekitaran Bebas Amalan Merokok sambil disaksikan Dr Aini (dua dari kiri), Dr Lekhraj (kanan) dan Dr Zamberi (kiri). FOTO Bernama

Konvensyen itu diadakan sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan hanya menerima sebanyak 304 aduan berkaitan perokok yang merokok di restoran dan premis makanan selepas kerajaan menangguhkan penguatkuasaan larangan itu.

Beliau berkata, sebaliknya pihaknya menerima sebanyak 15,828 aduan sepanjang tempoh 31 Disember 2018 hingga 29 Mei 2019.

“Trend penurunan amat drastik iaitu hanya 304 aduan mulai 20 Mei hingga 2 Jun lalu.

“Mungkin orang ramai melihat tiada apa-apa kesan kerana itu semakin sedikit aduan yang diterima atau pun kesedaran perokok sudah semakin baik,” katanya.

Dzulkefly berkata, sebanyak 28,765 notis amaran dikeluarkan sejak 31 Disember 2018 hingga 2 Jun lalu.

Katanya, sebanyak 108, 504 premis diperiksa dalam tempoh yang sama.

“Saya ingin tegaskan bahawa penguatkuasaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan tetap akan dikuatkuasakan serta merta pada 1 Januari 2020.

“Tiada lagi penangguhan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan melanjutkan tempoh penguatkuasaan pendidikan di tempat makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok selama enam bulan lagi hingga Disember ini.

Tempoh mendidik sebelum menguatkuasa larangan merokok di kedai makan dan restoran sebelum ini ditetapkan berakhir bulan depan selepas pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula pada 1 Januari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 9:36 PM