TUNKU Abu Bakar (tengah) bergambar bersama pasukannya menjelang perlumbaan esok.  FOTO Ihsan Johor Royal Press Office
TUNKU Abu Bakar (tengah) bergambar bersama pasukannya menjelang perlumbaan esok. FOTO Ihsan Johor Royal Press Office
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim berharap dapat menaiki podium apabila beraksi di pusingan pertama perlumbaan Fanatec GT World Challenge Asia dekat Litar Antarabangsa Sepang (SIC), esok.

Anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim itu akan memandu jentera Mercedes Benz AMG GT3 Evo pada musim ini bersama pasukan Triple Eight JMR.

Tunku Abu Bakar meraih tiga podium pada musim lalu, sekali gus melonjak ke tempat ketiga secara keseluruhan selepas memulakan musim lalu dengan cukup meyakinkan apabila memenangi Perlumbaan 1 di pusingan pertama dekat Thailand.

Tahun ini, Tunku Abu Bakar kembali bersaing dengan rakan gandingan baharu iaitu pemandu junior Mercedes-AMG 2023, Jordan Love dari Australia.

Saingan pada tahun ini pasti sengit yang menampilkan 33 supercar mewakili lapan pengeluar berbeza.

Bagaimanapun, pengalaman dan konsistensi Tunku Abu Bakar musim lalu, ditambah dengan rakan pemandu baharu, menyaksikannya akan menjadi pesaing utama musim ini.

"Saya sangat teruja untuk memulakan musim ini di Sepang. Prestasi kami sangat baik di sini tahun lalu, dan saya tidak sabar untuk meneruskan momentum itu bersama Jordan.

"Matlamat utama kami adalah untuk mendapatkan permulaan yang baik untuk kejuaraan. Jika semuanya berjalan lancar, kami pasti akan berusaha untuk menang minggu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 8:24 PM