TUNKU Abdul Rahman (kiri) bertitah harapan berkenaan boleh terlaksana jika Litar Johor di Pasir Gudang dibuka kembali. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
TUNKU Abdul Rahman (kiri) bertitah harapan berkenaan boleh terlaksana jika Litar Johor di Pasir Gudang dibuka kembali. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim, memberi bayangan untuk menjadikan negeri ini sebagai pangkalan sukan permotoran negara.

Tunku Abdul Rahman bertitah, harapan baginda adalah untuk melihat kepakaran anak tempatan sepenuhnya mengendalikan pasukan profesional disertai baginda iaitu Johor Motosports Racing (JMR).

Baginda bertitah, harapan berkenaan boleh terlaksana jika Litar Johor di Pasir Gudang dibuka kembali.

"Sasaran saya adalah untuk JMR berdiri sendiri. Insya-Allah satu hari dengan pasukan dianggotai anak tempatan sama ada dari Johor atau negeri lain.

"Sepenuhnya pasukan Malaysia. Itu adalah impian saya. Pasukan saya di Australia pun bersetuju dengan cadangan itu.

"Insya-Allah satu hari nanti jika Johor Circuit kembali, kita akan ada pangkalan di situ sekali gus kita boleh ambil pelajar dan mekanik tempatan seterusnya serap mereka dalam pasukan ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada sidang media selepas majlis KFC X JMR Youth Session, di sini, hari ini.

Hadir sama, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands, Nehchal Khanna.

Terdahulu, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar berkongsi pengalaman menyertai perlumbaan sukan permotoran antarabangsa kepada pelajar daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar turut menunjukkan model Mercedes AMG GT3, yang digunakan baginda berdua pada siri perlumbaan di Asia dan Australia.

Ditanya sasaran JMR dan baginda tahun ini, Tunku Abdul Rahman bertitah, tahun ini didedikasikan sebagai tahun pembangunan.

"Tahun ini saya akan buat semua perlumbaan endurance termasuk Asian Le Mans Series dan Intercontinental.

"Jadi saya dan juga pasukan kami akan gigih belajar untuk memasuki dunia perlumbaan endurance ini.

"JMR pernah buat dua atau tiga perlumbaan sebelum ini, tapi tahun ini kami akan buat secara sepenuh masa dan sasarannya untuk satu hari nanti layak masuk ke Le Mans 24 Hours di Perancis, itu adalah misi kami," titah baginda.

Mei tahun lalu, JMR dilaporkan bersedia untuk mempertahankan kejuaraan GT World Challenge Asia, apabila musim 2023 membuka tirai di Thailand.

Dua putera Sultan Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar dilaporkan beraksi bersama pasukan Triple Eight JMR yang menampilkan dua jentera Mercedes AMG GT3 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram.

Kedua-dua putera Sultan Johor itu akan bergandingan dengan pemandu V8 Supercars Australia Broc Feeney dan pakar perlumbaan endurance Jerman Luca Stolz, pada musim ini.

Pada 2022, Tunku Abdul Rahman menjuarai kejohanan Pro-Am di Asia, dan menamatkan saingan di tempat ketiga di Australia manakala JMR dan Triple Eight muncul juara keseluruhan Kejohanan Berpasukan di Asia. Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 5:35 PM