JENTERA Triple Eight JMR beraksi ketika menyertai perlumbaan Fanatec GT World Challenge Asia 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang hari ini. FOTO Bernama
JENTERA Triple Eight JMR beraksi ketika menyertai perlumbaan Fanatec GT World Challenge Asia 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang hari ini. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pelumba Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR), Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan Jordan Love mempamerkan kebangkitan di hari kedua untuk berada di podium dengan menduduki tempat ketiga siri perlumbaan pusingan akhir Fanatec GT World Challenge Asia kategori Pro-Am hari ini.

Dalam perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, kedua-dua pemandu berjaya memacu jentera Mercedes AMG GT3 EVO dengan cemerlang untuk memburu kedudukan terbaik dalam kategori Pro-Am.

Selepas gagal memberi aksi cemerlang pada hari pertama semalam, Tunku Abu Bakar dan gandingannya, Jordan Love berjaya menukar strategi dan membaiki taktikal pemanduan yang cekap serta tangkas sepanjang perlumbaan berlangsung.

Dengan catatan masa 1:00:55.010 saat (s), pasukan JMR berjaya melepasi garisan penamat dengan kedudukan nombor lima akan tetapi pelumba dari China, Anthony Liu yang sepatutnya mengakhiri di kedudukan teratas dikenakan tindakan selepas mendapati melakukan kesalahan.

Anthony juga dikenakan hukuman penalti tambahan masa 33s sekali gus menyaksikan ia jatuh terus ke tangga ke-12.

Semalam, dalam perlumbaan itu menyaksikan pasukan JMR menamatkan perlumbaan di tangga ke-10 mencatatkan masa selama 1:02:42:390s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 5:55 PM