MAX Verstappen. -FOTO AFP
MAX Verstappen. -FOTO AFP
AFP

Budapest: Juara dunia Max Verstappen mengeksploitasi sepenuhnya kelemahan Ferarri apabila mendahului 80 mata mengatasi Charles Leclerc dalam perlumbaan kejuaraan tahun ini selepas membantu Red Bull melakar kemenangan di Grand Prix Hungary semalam.

Hanya seminggu selepas kemenangan di Grand Prix Perancis selepas Leclerc tersingkir daripada perlumbaan apabila terbabas, pelumba berusia 24 tahun dari Belanda itu mencatatkan kemenangan pertama di Hungary, kemenangan kelapan tahun ini dan yang ke-28 dalam karier.

Bermula dari petak ke-10, selepas berdepan masalah enjin ketika sesi kelayakan Sabtu lalu sehingga memerlukan unit kuasa yang baru, dia berjaya memintas dan menamatkan perlumbaan 7.8 saat di depan juara dunia tujuh kali Mercedes, Lewis Hamilton dan George Russell yang bermula di petak hadapan.

"Apabila bangun pagi, siapa sangka kita akan memenangi perlumbaan ini," kata Verstappen.

Dengan Russell di petak hadapan dan pelumba Ferrari Carlos Sainz dan Leclerc masing-masing kedua dan ketiga, ramalan menjangka pasukan Itali itu akan mengawal dan memenangi perlumbaan dengan mudah kerana Red Bulls bermula dari petak ke-10 dan 11.

Namun percaturan dalam pengurusan tayar dan pertukaran di pit-stop yang perlahan serta strategi yang dipersoalkan menyaksikan mereka sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima dan keenam di belakang Sergio Perez di kedudukan kedua untuk Red Bull biarpun bermula dari petak ke-11.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 12:54 PM