VERSTAPPEN memuji jenteranya yang berada dalam keadaan terbaik di pusingan kelayakan. FOTO AFP
VERSTAPPEN memuji jenteranya yang berada dalam keadaan terbaik di pusingan kelayakan. FOTO AFP
AFP

Shanghai: Juara dunia tiga kali, Max Verstappen meraih petak utama Grand Prix (GP) China, 0.322 saat (s) di hadapan rakan sepasukan Red Bull, Sergio Perez manakala Fernando Alonso dari Aston Martin merangkul petak ketiga.

Verstappen mencatatkan pusingan terpantas 1 minit 33.660s untuk menamatkan hari yang sempurna selepas sebelum itu mencatat kemenangan perlumbaan pecut di Litar Antarabangsa Shanghai.

"Jentera bekerja lebih baik dalam kelayakan," kata Verstappen, yang memenangi petak utama ke-100 pasukan Red Bull dan yang pertama di China.

"Pusingan terakhir itu berasa cukup baik dan sangat gembira untuk memandu di sini dalam keadaan kering, ia sangat menyeronokkan."

Lando Norris dari McLaren akan bermula di barisan kedua bersama Alonso untuk perlumbaan esok, GP pertama yang akan diadakan di China sejak 2019 kerana sekatan pandemik Covid-19.

Seorang lagi pelumba McLaren, Oscar Piastri mencatat masa kelima terpantas di hadapan dua pemandu Ferrari, Charles Leclerc dan Carlos Sainz, manakala wakil Mercedes, George Russell di kedudukan kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 5:40 PM