Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah terus mempamerkan kematangannya beraksi pada musim kedua Kejuaraan Motosikal Dunia apabila sekali lagi mengutip mata pada Grand Prix Argentina semalam.

Pelumba Petronas Raceline Malaysia itu yang bermula di petak ke-16, menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 selepas berdepan detik getir hampir terjatuh berikutan pelumba di depannya Simone Corse mengalami kemalangan pada awal perlumbaan.

Hafizh terpaksa mengejar kelompok depan sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 39 minit 55.813 saat di depan juara bertahan Tito Rabat yang sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.

“Kami sekali lagi melalui perlumbaan bagus dan meraih keputusan terbaik di Argentina.

“Penamat ke-10 cukup baik untuk saya serta pasukan selepas berdepan masalah tayar pada sesi latihan bebas Jumaat lalu,” kata Hafizh.

Hafizh turut cemerlang pada dua perlumbaan awal sebelum ini apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-12 di Losail, Qatar serta keenam di Amerika Syarikat sekali gus menyaksikannya menduduki tempat kesembilan kategori pelumba Moto2 dengan 20 mata.

Sementara itu, Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Honda Team Asia terlepas peluang meraih mata pertama apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-17 manakala Mohd Zaqhwan Zaidi (JPM Moto Malaysia) di tempat ke-27.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 8:05 AM