Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Saingan Perlumbaan 2 Supersports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand semalam menyaksikan berlaku ‘drama’ apabila pelumba negara Azlan Shah Kamaruzaman yang melepasi garisan penamat di tempat kedua, dinobatkan juara selepas kemenangan Anthony West dibatalkan.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Azlan yang menunggang jentera Manual Teh KYT Kawasaki Racing meraih kemenangan berganda selepas turut mendominasi Perlumbaan 1 kelmarin.

Azlan bersaing sengit dengan West di hujung saingan tetapi jentera lawannya dari Akeno Speed WJR Racing itu dilihat lebih pantas untuk melepasi garisan penamat di tempat pertama.

Kemenangan West bagaimanapun dibatalkan atas kesalahan mengingkari prosedur teknikal perlumbaan sekali gus menyaksikan Azlan yang menamatkan perlumbaan di belakang pelumba Australia itu dinobatkan juara untuk terus mendahului kedudukan keseluruhan dengan 83 mata.

“Perlumbaan hari ini (semalam) sangat sukar. Saya sudah memberikan yang terbaik sejak dari awal sehingga ke garisan penamat.

“Cuaca juga sangat panas dan semua pelumba berusaha mengekalkan kedudukan masing-masing selain terpaksa mengawal tayar dengan baik.

“West sangat pantas manakala jentera saya agak sedikit perlahan yang memaksa saya bekerja keras di penghujung perlumbaan untuk mengekalkan kedudukan.

“Apapun saya gembira dengan keputusan ini walaupun bukan kemenangan cara ini yang saya mahu,” katanya.

Pelumba Yamaha Thailand Racing Decha Kraisart yang pada asalnya menghuni kedudukan ketiga, dinaikkan ke tempat kedua. Seorang lagi pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi (Musashi Boon Siew Honda Racing) pula dilonjakkan ke tempat ketiga daripada keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 4:53 AM