GAYA Izam ketika tiba di garisan penamat. FOTO Cub Prix
GAYA Izam ketika tiba di garisan penamat. FOTO Cub Prix
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelumba ONEXOX Racing Team, Md Izam Ikmal Izamli melaungkan amaran awal apabila mencatat masa terpantas sesi kelayakan Cub Prix pusingan pertama di Litar Antarabangsa Sepang Utara.

Izam Ikmal mencatat masa 1 minit 17.025 saat (s) untuk menduduki petak utama bagi saingan Superpole yang akan berlangsung esok.

Dia yang beraksi dengan jentera Honda selama ini, langsung tidak menghadapi sebarang masalah menyesuaikan rentak tunggangannya bersama jentera Yamaha yang disediakan oleh pasukan ONEXOX Racing Team.

"Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada team saya, ONEXOX Racing Team untuk pencapaian di luar jangkaan ini. Namun, strategi dibincangkan pasukan sangat berjaya. Seperti diketahui, kategori CP150 memang sukar dengan cabaran pelumba lain untuk berada di hadapan. Cuaca hari ini sememangnya tidak menentu. Namun begitu, saya akan lebih bersedia untuk perlumbaan esok," katanya.

Sementara itu, juara bertahan CP150 Azroy Hakeem Anuar memulakan kempen musim 2022 dengan langkah kanan. Azroy mencatat masa kedua terpantas sesi kelayakan dengan 1:17.068s, manakala masa ketiga terpantas dirakam oleh Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing dengan 1:17.207s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 5:54 PM