AHMAD Afif Amran. FOTO Malaysian Cub Prix
AHMAD Afif Amran. FOTO Malaysian Cub Prix
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Litar Tangkak sepanjang 1.025 kilometer (km) menjadi milik Ahmad Afif Amran minggu ini apabila pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing itu berjaya merakam kemenangan berganda dalam kategori CP150 Kejuaraan Cub Prix.

Sehari selepas kemenangan pertamanya musim ini dalam saingan Pusingan 7, Afif meneruskan persembahan yang menakjubkan apabila berjaya merakam kemenangan kedua hari ini.

Perlumbaan bermula dengan dua pelumba pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, Mohd Akid Aziz and Mohd Muzakkir Mohamed meluru ke depan.

Akid yang memulakan perlumbaan dari petak pertama, mendahului perlumbaan selama empat pusingan tetapi dipintas oleh Afif pada pusingan kelima.

Rentak perlumbaan Afif yang begitu rapi dan defensif menyukarkan usaha Akid untuk merampas kembali posisi pertama perlumbaan.

Kelajuan jentera pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing membolehkan Afif merakam rekod baharu di Litar Tangkak pada pusingan ke-19 dengan catatan masa 43.551 saat (s).

Catatan masa ini memadamkan rekod lama yang juga dipegang olehnya iaitu 43.595s.

Kemenangan kedua musim 2021 Afif dicatat dengan catatan masa 14'42.762s, manakala Akid pula menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan (14'44.040s).

Rakan sepasukan Afif, Mohd Aiman Tahiruddin, turut menceriakan pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing apabila melepasi garisan penamat di tempat ketiga dengan catatan masa 14'52.908s.

"Pasukan kami bertungkus-lumus selama dua minggu membuat persiapan untuk menghadapi pusingan ini. Kami amat bersyukur bahawa kerja keras kami kini membuahkan hasil," kata Afif.

Dengan dua kemenangan Afif di Pusingan 7 dan 8 di Litar Tangkak, saingan untuk bergelar Juara CP150 musim 2021 semakin rancak.

Hanya empat mata kejuaraan memisahkan Afif di tangga kedua dengan Azroy Hakeem Anuar yang mendahului dengan 125 mata.

Dalam kategori CP125, Mohd Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team turut meraikan kemenangan berganda apabila menjuarai perlumbaan Pusingan 8 dengan catatan masa 11'41.155s.

Pusingan 9 dan 10 Kejuaraan Cub Prix 2021 akan berlangsung di Litar Selatan Sepang dari 17 hingga 19 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 5:27 PM