HAMILTON meraikan kejuaraan ke-100 di atas podium. FOTO AFP
HAMILTON meraikan kejuaraan ke-100 di atas podium. FOTO AFP
AFP

Sochi: Lewis Hamilton menjelaskan menjadi pelumba pertama meraih kemenangan ke-100 dalam Formula Satu (F1) adalah sesuatu yang ajaib tatkala prinsipal Mercedes, Toto Wolff menganggap pencapaian itu sangat luar biasa.

Pelumba Britain berusia 36 tahun itu berjaya meraih kejuaraan kali ke-100 selepas muncul juara di Grand Prix (GP) Russia di Sochi semalam.

Juara dunia tujuh kali itu juga berjaya melonjak ke tangga teratas kedudukan keseluruhan dua mata mengatasi Max Verstappen yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

"Ia memang detik-detik ajaib. Saya tidak pernah bayangkan akan terus berada di sini dan mempunyai peluang untuk memenangi perlumbaan serta berlumba dengan bakat-bakat hebat dalam karier saya.

"Untuk terus bekerjasama dengan Mercedes, sesuatu yang amat saya banggakan, bukan saja di atas litar tetapi juga di luar, ia adalah saat istimewa buat semua yang terbabit," katanya.

Hamilton memenangi perlumbaan pertama F1 di Kanada pada 2007 iaitu pada usia 22 tahun dan ketika bersama McLaren.

Kejayaan ke-99 yang diciptanya hadir di laman sendiri di Silverstone Julai lalu namun ia diraih dalam keadaan kontroversi.

"Ada satu ketika saya merasa ia tidak akan berlaku (kemenangan ke-100)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 11:12 AM