HAMILTON mampu menyamai rekod Schumacher jika muncul juara di GP Russia. FOTO AFP
HAMILTON mampu menyamai rekod Schumacher jika muncul juara di GP Russia. FOTO AFP
AFP

Sochi: Lewis Hamilton bersedia untuk menyamai rekod Michel Schumacher 91 kemenangan di Formula Satu (F1) menjelang Grand Prix (GP) Russia Ahad ini walaupun terdapat kebimbangan penularan wabak Covid-19 selepas penganjur membenarkan kehadiran 30,00 penonton.

Juara dunia enam kali itu hanya kurang satu lagi kemenangan untuk menyamai rekod Schumacher yang dilihat sukar ditandingi sebelum ini.

Bagaimanapun, dia berada dalam landasan terbaik untuk mengatasi rekod berkenaan bersandarkan kepada kejayaan meraih empat kejuaraan dunia dalam tempoh enam tahun.

Dia juga mencatatkan enam kejuaraan sembilan perlumbaan musim ini untuk mengungguli kedudukan keseluruhan dengan perbezaan 55 mata mengatasi rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas.

Selain Hamilton dan Bottas, satu-satunya pelumba lain yang pernah meraih kejuaraan di Sochi ialah bekas pelumba Mercedes, Nico Rosberg sejak perlumbaan di negara berkenaan kembali diletakkan dalam kalendar F1.

Jika Mercedes berjaya mencatat kejayaan lagi di Sochi sejarah akan tercipta dengan menjadi satu-satunya pasukan paling banyak muncul juara dalam satu GP.

Penganjur berkata setakat ini 30,000 penonton dijangka hadir menyaksikan perlumbaan itu dan tiket untuk GP Russia sudah habis terjual.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 12:45 PM