HAMILTON buru gelaran dunia kelapan.
HAMILTON buru gelaran dunia kelapan.
Agensi

London: Lewis Hamilton diberikan amaran keras oleh ketua Mercedes, Toto Wolff menjelang tujuh perlumbaan terakhir F1 musim ini.

Juara dunia tujuh kali berusia 36 tahun itu mendahului Kejuaraan Pemandu dengan hanya dua mata selepas meraih kemenangan Grand Prix ke-100 di Rusia bulan lalu dan kini bersaing sengit dengan Max Verstappen dalam memburu gelaran F1 musim ini.

Jaguh Britain itu menang tiga daripada empat perlumbaan pertama untuk mendahului carta tetapi Verstappen mencipta kejutan dengan menjuarai enam daripada 11 perlumbaan terakhir dan baki saingan musim ini dijangka panas dan lebih mendebarkan.

Verstappen dan Hamilton terbabit nahas sesama sendiri di Itali bulan lalu sekali gus kedua-duanya terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal.

Pelumba Belanda itu terkeluar dari saingan di Grand Prix Silverstone manakala Hamilton berjaya menamatkan setiap perlumbaan sebelum Monza.

Menyedari tentangan sengit Verstappen, Wolff memberitahu Hamilton dia perlu menamatkan setiap perlumbaan antara sekarang sehingga penghujung musim. "

"Sama ada kami atau pesaing tidak mampu kehilangan mata lagi. Saya fikir tiada mana-mana pemandu atau pelumba dalam situasi selesa sekarang kerana tiada jurang dari segi mata yang mungkin berlanjutan untuk tempoh lama.''

Satu lagi gelaran untuk Hamilton memastikan dia memintas rekod Michael Schumacher.

Hamilton menikmati kemenangan pertama F1 pada 2008 tetapi terpaksa menunggu enam tahun selepas itu untuk mendominasi sukan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 1:12 PM