Hamilton (kiri) dan Toto Wolff meraikan kejayaan muncul juara di GP Turki Ahad lalu. FOTO Agensi
Hamilton (kiri) dan Toto Wolff meraikan kejayaan muncul juara di GP Turki Ahad lalu. FOTO Agensi
Agensi

Istanbul: Bos pasukan Mercedes, Toto Wolff berkata dia menjangkakan untuk memulakan perbincangan bersama Lewis Hamilton membabitkan kontrak baharu dan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Hamilton menjadi antara pelumba Formula Satu (F1) paling berjaya dalam sejarah pada Ahad lalu apabila dia meraih Kejuaraan Dunia buat kali ketujuh.

Kontraknya dijangka tamat tahun ini tetapi Hamilton memaklumkan dia mahu kekal di Mercedes.

"Masih segar dengan pencapaian pelumba yang muncul juara kejuaraan sebanyak tujuh kali, anda tidak dapat bercakap mengenai kontrak. Ini tidak akan berlaku adil terhadap pencapaian itu," kata Wolff.

"Kami akan memberikannya masa beberapa hari kemudian kami akan berbincang mengenainya.

"Hubungan kami melebihi daripada urusan perniagaan, ia adalah mengenai hubungan persahabatan, terutama membabitkan kepercayaan.

"Rundingan ini adalah sesuatu yang kami tidak gemari ketika ia adalah satu-satunya masa di mana kita tidak berkongsi objektif yang serupa.

"Kadang kala perjanjian terbaik akan berlaku apabila rundingan berakhir dengan kedua-dua pihak tidak berpuas hati dengan permintaan masing-masing."

Hamilton meraih kejuaraan keseluruhan F1 buat kali ketujuh selepas muncul juara di Grand Prix Turki, Ahad lalu.

Pelumba Mercedes itu menyamai rekod legenda F1, Michael Schumacher walaupun masih berbaki tiga perlumbaan untuk ditamatkan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 10:01 AM