WENDY bersama pingat emas yang dimenanginya di Sukan Sea Hanoi pada 2022. FOTO FB NG YAN YEE
WENDY bersama pingat emas yang dimenanginya di Sukan Sea Hanoi pada 2022. FOTO FB NG YAN YEE
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penerjun berpengalaman negara, Wendy Ng mengumumkan persaraannya selepas sekian lama menceburi sukan itu termasuk tampil pada tiga temasya Sukan Olimpik secara berturut-turut.

Atlet berusia 31 tahun itu mengakui ia bukanlah keputusan mudah selepas dua dekad berkecimpung dalam sukan terjun, namun sudah tiba masanya untuk dia berundur.

"Dengan hati yang penuh kesyukuran, saya mengucapkan selamat tinggal kepada kolam renang yang menjadi tempat dan pentas saya untuk detik-detik yang tidak dapat dilupakan.

"Dari kejayaan (beraksi di) Olimpik kepada menghargai setiap kemenangan, didorong oleh dedikasi dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

"Persaraan ini menandakan permulaan lembaran baharu. Terima kasih semua kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan yang luar biasa ini.

"Inilah permulaan baharu yang dipandu oleh keberanian dan didorong dengan semangat," katanya menerusi hantaran di Instagram.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu memiliki pencapaian cukup cemerlang bersama skuad kebangsaan apabila pernah merangkul empat pingat perak Sukan Asia dan satu pingat perak di Sukan Komanwel.

Wendy berjaya memenangi tujuh pingat emas serta tiga perak sepanjang penyertaannya dalam temasya Sukan Sea.

Dia layak beraksi di Sukan Olimpik tiga kali berturut-turut bermula pada edisi 2012 di London, diikuti 2016 di Rio dan terakhir di Tokyo pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 2:59 PM