WENDY mahu fokus kepada latihan. FOTO NSTP
WENDY mahu fokus kepada latihan. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penerjun senior Wendy Ng Yan Yee terpaksa mengorbankan cuti sambutan Tahun Baru Cina demi memastikan dapat menjalani latihan secara kompetitif sebagai persediaan mengharungi kejohanan antarabangsa kelak.

Wendy yang berasal dari Ipoh, Perak, berkata, demi memastikan prestasinya berada pada optimum dia perlu membayar 'harga' terbabit walaupun sedih terpaksa menyambut Tahun Baru Cina di ibu kota tanpa ditemani keluarga.

Katanya, dia perlu memastikan prestasi berada pada tahap terbaik sebagai persediaan mengharungi kejohanan seperti Sukan Asia ke-19 yang akan berlangsung di Hangzhou, China pada September depan.

"Sambutan Tahun Baru Cina pada kali ini hanya diberikan pelepasan sehari saja menyebabkan saya merancang tidak balik ke kampung bersama keluarga untuk fokus menjalani latihan.

"Saya perlu berusaha keras terutamanya pada penampilan di Sukan Asia untuk melayakkan diri ke pentas Olimpik Paris 2024.

"Apa yang pasti, saya mahu pastikan pada tahun ini bebas daripada sebarang kecederaan dan menikmati setiap penyertaan di kejohanan dengan memperoleh keputusan positif," katanya.

Sebelum ini atlet berusia 30 tahun itu paling senior dalam pasukan bersama ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.

Antara kejayaan yang berjaya dikecapi pada musim 2022 adalah memenangi pingat perak dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Selain itu, Wendy berkata, dia sememangnya meletakkan sasaran untuk beraksi di pentas Olimpik sebagai kemuncak kepada kariernya sebagai penerjun negara.

"Saya memang mahu beraksi di Olimpik kerana itu adalah impian setiap atlet kerana seperti sedia maklum bukanlah mudah untuk menempatkan diri dalam temasya berkenaan kerana banyak perkara perlu dikorbankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 2:55 PM