ALCARAZ tarik diri daripada Terbuka Barcelona kerana cedera lengan kanan. FOTO AFP
ALCARAZ tarik diri daripada Terbuka Barcelona kerana cedera lengan kanan. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Carlos Alcaraz berkata, dia tidak pasti sama ada benar-benar cergas untuk mempertahankan gelaran Terbuka Madrid.

Pemain nombor tiga dunia dari Sepanyol itu menarik diri daripada Terbuka Barcelona, Ahad lalu, kerana kecederaan lengan kanan dan memberi penjelasan mengenai tahap kecergasan terkininya.

Terbuka Madrid akan bermula pada 22 April dan Alcaraz berkata, sasarannya untuk bermain di kejohanan itu selepas menarik diri daripada Masters Monte Carlo, awal bulan ini dan kemudian Terbuka Barcelona, memandangkan Terbuka Perancis semakin hampir.

"Matlamat saya adalah bermain di Terbuka Madrid, tetapi saya tidak pasti mengenai segala-galanya," kata Alcaraz.

"Saya tidak mahu mendahului keadaan diri sendiri dan tidak mahu berkata saya akan 100 peratus bermain di Terbuka Madrid, tetapi itu adalah matlamat saya.

"Kami akan cuba melakukan apa saja dalam kemampuan kami."

Alcaraz menjuarai dua Grand Slam dan membuat persediaan menjelang kempen di Roland Garros bermula 26 Mei depan, selepas mara ke separuh akhir kejohanan di Paris itu, tahun lalu.

Pemain berusia 20 tahun itu berkata, dia mahu bermain di Barcelona selepas menjuarai kejohanan itu sejak dua tahun lalu.

"Saya balik dari Monte Carlo untuk melihat dengan proses pemulihan, latihan dan sabar supaya boleh bermain di Barcelona dalam keadaan terbaik," kata Alcaraz.

"Saya membuat ujian pada pagi Sabtu dan imej agak positif, tetapi ia tidak begitu baik dan saya rasa tidak selesa pada Ahad."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 10:05 AM