Aida Adilah Mat


JURULATIH pecut negara Mohd Poad Md Kassim (gambar) mengharapkan ada pihak yang sudi tampil menghulurkan dana bagi membolehkan atlet pecut di bawah bimbingannya menimba ilmu di Jepun.

Tidak menafikan bantuan yang dihulurkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) banyak membantu perkembangan atlet olahraga namun ia masih lagi tidak mencukupi.

Katanya, ketika negara lain sedang rancak merencana program terbaik buat atlet mereka sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel yang hanya berbaki lima bulan, barisan atlet pecut yang juga Raja Pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan masih lagi berkampung di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar.

Perkara itu sedikit menggusarkan Poad kerana hampir separuh atlet Negara Matahari Terbit itu kini menghuni kelompok 10 terbaik Asia dengan catatan yang mungkin sukar untuk dikejar Khairul Hafiz justeru mana mungkin pelari terbaik negara itu mampu mengimpikan pingat Sukan Asia jika masih berada di Malaysia.

Tegasnya objektif utama mengapa beliau memilih Jepun sebagai lokasi untuk berlatih adalah kerana Jepun menawarkan persekitaran latihan yang mampu meningkatkan motivasi dan keseimbangan dinamik.

“Saya bersama Ketua Pusat Sukan Kekuatan dan Daya Tahan, Bahagian Prestasi Sukan Institut Sukan Negara (ISN) Jad Adrian Washif sentiasa berhubung berkaitan program latihan atlet.

“Apabila Jad menyenaraikan kedudukan pelari Jepun yang sudah ramai mampu melakar catatan sekitar 10 saat, jadi saya rasa saya perlu ke sana untuk melihat sendiri latihan yang mereka lakukan,” katanya.

Selain itu Jepun juga menawarkan latihan lebih sesuai dan saingan cukup baik buat atlet negara.

Poad mengimpikan untuk berlatih di Institut Sains Sukan Jepun (JISS) dan Pusat Latihan Kebangsaan di Tokyo biarpun hanya seminggu namun memerlukan kos perbelanjaan sekurang-kurangnya RM54,800.

Antara atlet yang dirancang untuk dibawa berlatih ke sana adalah Khairul Hafiz, Badrul Hisyam Manap, Haiqal Hanafi dan pemenang pingat emas kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia, Mohd Aiedel Saadon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 7:37 PM