Prestasi Prabudass semakin baik sejak berlatih di bawah jurulatih dari Perancis. FOTO NSTP
Prestasi Prabudass semakin baik sejak berlatih di bawah jurulatih dari Perancis. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


SELEPAS sekian lama Malaysia ketandusan atlet dalam acara jarak jauh K Prabudass kembali menghidupkan harapan dalam acara itu.

Penyertaan atlet berusia 29 tahun itu di Kejohanan Jarak Jauh NSSU kali ke-270 di Jepun, kelmarin memberi sinar buat skuad negara meraih emas dalam acara 5,000 meter.

Prabudass merekodkan 14 minit 33:10 saat dan catatan itu mengatasi pencapaian pemenang pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Nguyen Van Lai, 14:55.15.

Masa itu cukup memberi ruang buat Prabudass menukar warna pingat perak dimenanginya di KL2017 kepada emas di Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

"Saya berpuas hati dengan prestasi setakat ini. Saya berharap dapat terus memperbaiki masa di kejohanan seterusnya.

"Catatan masa itu memberi harapan mencabar pingat emas di Sukan SEA nanti," katanya.

Biarpun masa itu jauh daripada rekod kebangsaan milik R Ramachandran 14:06.84s dilakukan pada 5 Ogos 1994 di Troisdorf, Jerman namun Prubudass yakin jika dia terus diberi peluang menyertai lebih banyak pertandingan kompetitif dia mampu memadamkan rekod itu.

Berlatih di bawah bimbingan jurulatih dari Perancis, Jean-Pierre Lautredoux, Prabudass mengakui perubahan ketara dapat dilihat sejak mendapat tunjuk ajar daripada Lautredoux.

"Saya mula berlatih bersama Lautrédoux tiga bulan lalu selepas pulih dari demam denggi.

"Tapi Lautredoux bukan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau melatih saya secara percuma selepas meminta beliau menolong saya.

"Di bawahnya, prestasi saya semakin baik dan buktinya dalam tempoh tiga minggu saya berjaya membuat dua catatan terbaik peribadi," katanya sebelum ini merekodkan 14.37.52 pada kejohanan yang sama di Jepun.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara jarak jauh adalah pada 1999 menerusi Ramachandran yang menguasai kedua-dua 5,000m dan 10,000m.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 5:14 PM