HAIKAL (kiri) dan Hon Jian bersama hadiah dimenangi selepas muncul juara Masters Guwahati, semalam. FOTO FB BAM
HAIKAL (kiri) dan Hon Jian bersama hadiah dimenangi selepas muncul juara Masters Guwahati, semalam. FOTO FB BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky meluahkan rasa gembira dengan mutu persembahan dipamerkan beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Malah Rexy tidak menolak untuk menyenaraikan pasangan berkenaan menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Selangor, Februari depan.

Dua gelaran berganda yang diraih pasangan itu di India memperlihatkan peningkatan ketara buat pasangan yang kini menghuni ranking ke-69 dunia itu, selepas digandingkan Ogos lalu.

"Ada dua kejohanan penting tahun depan iaitu BATC dan Piala Thomas. Buat masa ini masih terlalu awal untuk kita bercakap mengenai Piala Thomas, tapi mungkin mereka boleh diturunkan di BATC.

"Perkara ini akan dibincangkan dengan barisan kejurulatihan sama ada kita akan menyenaraikan pasukan terkuat sebagai tuan rumah atau kita mahu memberi peluang kepada pemain pelapis membuktikan kemampuan mereka dengan menjadikan BATC sebagai kejohanan simulasi sebelum Piala Thomas," kata Rexy.

Semalam, Hon Jian-Haikal mengekalkan momentum apabila menjuarai saingan Masters Guwahati di Assam selepas menewaskan beregu Taiwan, Lin Bing Wei-Su Ching Heng 21-17, 23-21 pada aksi final yang berlangsung di Kompleks Sukan Tertutup Saru Sajai.

Sebelum itu, Hon Jian-Haikal turut cemerlang apabila merangkul gelaran pertama dalam saingan Super 300 dengan menjuarai saingan Antarabangsa Badminton Syed Modi di Lucknow, minggu lalu.

Sementara itu, jurulatih beregu lelaki negara, Poh Chai Boon yang mengiringi Hon Jian-Haikal di India gembira dengan prestasi dipamerkan beregu negara itu.

Katanya, sepanjang dua kejohanan itu, mereka menunjukkan peningkatan dan persefahaman tinggi, malah mereka kini lebih memahami antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 7:34 PM