SUHARDI Alias. -FOTO MSN
SUHARDI Alias. -FOTO MSN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemimpin persatuan sukan kebangsaan menyelar kenyataan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias yang dilaporkan mengugut untuk membatalkan pendaftaran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi satu klip audio yang tersebar baru-baru ini.

Rata-rata mereka menganggap kenyataan berbaur ancaman itu berniat jahat dan menuntut Suhardi menarik balik kata-kata itu sambil memohon maaf kepada pucuk pimpinan MOM.

Mereka juga mahu PJS memahami batas-batas dan bidang kuasanya agar tidak melanggar Piagam Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang melarang campur tangan kerajaan dalam tadbir urus Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC).

Suhardi dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu menerusi klip audio rakaman yang tular selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan wakil daripada E-Sukan berhubung pendaftaran sebuah badan induk sukan berkenaan di peringkat antarabangsa pada 14 November lalu.

Pemimpin-pemimpin berkenaan juga meminta agar Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengenakan tindakan sewajarnya susulan tindakan Suhardi keluar daripada batas-batas kesusilaan kerana menyamakan MOM dengan kerajaan Israel yang melakukan kezaliman terhadap penduduk Palestin dalam konflik terbaharu di Gaza.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui terkilan dengan kenyataan Suhardi sekali gus tidak menggambarkan falsafah dan corak kepimpinan Hannah yang mesra dengan persatuan sukan serta semua pemegang taruh.

"MOM adalah badan induk yang memayungi semua persatuan sukan kebangsaan dan menjadi ahli gabungan kepada IOC. Sebagai badan payung, MOM tidak akan melanggar apa-apa peraturan atau perlembagaannya sendiri sehingga memudaratkan status pendaftarannya di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

"Pesuruhjaya Sukan pula ibarat hakim yang harus berlaku adil kepada persatuan sukan. Adalah wajar Suhardi memohon maaf kepada MOM atas keterlanjuran ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad menyarankan PJS tidak melancarkan 'perang' dengan MOM sebaliknya melaksanakan tugas mengikut bidang kuasa dan sempadan masing-masing.

"Apa hak dan kuasa PJS dan apa pula tugas dan tanggungjawab MOM sebagai badan payung sukan kebangsaan. Adalah tidak wajar PJS mengugut untuk membatalkan pendaftaran MOM tanpa sebab dan tanpa merujuk kepada MOM terlebih dahulu berhubung kandungan perbincangan dengan wakil E-Sport.

"Tugas Pesuruhjaya Sukan ini sebenarnya ibarat Peguam Negara. Antaranya ialah memastikan persatuan atau kelab yang berdaftar di seluruh negara aktif, bukan sekadar menyerahkan laporan mesyuarat agung tahunan atau laporan kewangan secara tahunan. Beliau kena faham undang-undang," katanya.

Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli pula menyifatkan kenyataan Suhardi sudah malampaui batas.

"Kalaupun ada sebab MOM dikaitkan dengan perbincangan di antara PJS dan wakil-wakil sukan E-Sukan atas kapasitinya selaku badan yang memayungi semua persatuan sukan kebangsaan, saya menganggap kenyataan Suhardi melampaui batas.

"Ini ditambah pula dengan kenyataan beliau menyamakan MOM seperti Kerajaan Israel adalah sesuatu di luar batasan, sedangkan MOM tidak berada di situ untuk mempertahankan sebarang dakwaan.

"Saya berharap PJS mengambil pendekatan membimbing dan mesra persatuan serta tidak sewenang-wenangnya mengugut untuk membatalkan pendaftaran sesiapa sahaja, terutama MOM yang dianggap sebagai badan induk atau payung bagi semua persatuan sukan kebangsaan," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, berkata Suhardi seharusnya faham peranan MOM dan perlu berwaspada apabila mengeluarkan sebarang kata-kata dan juga kepada siapa ia dituju kerana beliau adalah seorang yang berpangkat dalam sukan negara.

"Semua orang memahami peranan MOM dalam menguruskan kontinjen negara ke temasya pelbagai sukan dan kalaupun ada kesalahan melanggar sebarang peraturan atau perlembagaan dan undang-undang sedia ada, PJS harus membuat siasatan terperinci sebelum mengambil tindakan membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan.

"Saya harap ini menjadi pengajaran buat semua pegawai agensi Kerajaan mahupun pemegang jawatan persatuan sukan kebangsaan, termasuklah saya, agar berwaspada apabila mengeluarkan kenyataan sama ada dalam perjumpaan terbuka mahupun tertutup," katanya.

Suhardi semalam dilaporkan akan mengambil tindakan laporan polis terhadap individu yang menyebarkan rakaman audio tanpa izin sehingga menimbulkan fitnah kepada pihaknya.

Menurutnya, perjumpaan tertutup yang diadakan pada 14 November lalu bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) bertujuan mencari jalan pendamaian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 2:54 PM