NAZIFUDDIN anggap Suhardi memberi isyarat memukul gendang perang dengan MOM. FOTO OWEE AH CHUN.
NAZIFUDDIN anggap Suhardi memberi isyarat memukul gendang perang dengan MOM. FOTO OWEE AH CHUN.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mendesak Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk campur tangan dan menangani kebiadapan Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias, yang tampak berterusan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap MOM di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, pucuk pimpinan MOM menyifatkan kenyataan terbaharu Suhardi semalam sebagai di luar bidang kuasa beliau, khususnya apabila menyentuh prestasi dan pencapaian atlet di bawah naungan persatuan sukan kebangsaan.

"Kenyataan terbaharu Suhardi jelas menunjukkan apa yang tersimpan dalam lubuk hatinya, bahawa beliau ada niat untuk mengambil tindakan terhadap MOM di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

"Suhardi bukan sahaja enggan memohon maaf atas kata-kata beliau yang menyamakan MOM dengan Kerajaan Israel tetapi juga menyentuh pencapaian dan prestasi atlet di bawah naungan kami, sedangkan bidang kuasa PJS terhad kepada perundangan berkaitan pendaftaran dan pembatalan atau penggantungan badan sukan yang berdaftar di bawah Akta 576.

"Kedegilan Suhardi ini memberi isyarat bahawa beliau sudah memukul gendang perang dengan MOM dan ahli gabungan kami.

"MOM menghormati kedudukan Suhardi sebagai Pesuruhjaya Sukan yang bidang kuasanya luas mengikut Akta 576 tetapi harus diingat, akta yang digubal di Parlimen bukan milik individu yang boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya, apatah lagi terhadap MOM yang memayungi 58 persatuan sukan kebangsaan.

"Andai kebiadapan Suhardi berterusan, MOM berpegang kepada Piagam IOC yang menuntut mana-mana NOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan) untuk mempertahankan kuasa autonomi dan melawan sebarang bentuk tekanan, termasuk tidak terbatas kepada tekanan politik, perundangan, agama dan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai kenyataan Suhardi yang berkata bahawa MOM tertakluk kepada Seksyen 8 dan 9 Akta Pembangunan Sukan, ia berniat jahat kerana selama ini MOM mematuhi semua peraturan mesyuarat serta perlembagaan MOM yang diiktiraf sebagai NOC oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

"MOM memahami kandungan Akta 576 yang membuatkan kami bekerjasama rapat dengan semua agensi Kerajaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), khususnya Majlis Sukan Negara (MSN), Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPJS) dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam menguruskan penyertaan Kontinjen Malaysia ke temasya Pelbagai Sukan Antarabangsa serta hal ehwal pendaftaran ahli gabungan dan persatuan sukan kebangsaan," tegas Mohd Nazifuddin.

Mohd Nazifuddin menambah kenyataan terbaharu Suhardi turut memperlihatkan kedegilan beliau mengambil pendekatan konfrontasi yang tidak seiring dengan semangat musyawarah yang ditekankan oleh Hannah sejak beliau dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan pada November tahun lalu.

Suhardi menerusi laporan semalam membuat laporan polis bagi memastikan pihak bertanggungjawab menyebarkan rakaman audio perbincangan tertutup beliau bersama Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dikenakan tindakan sewajarnya.

Beliau percaya penyebaran audio separuh-separuh selepas perbincangan itu menyalahi perkara di bawah akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan membangkitkan keresahan dalam kalangan ahli MOM.

Justeru, beliau turut menasihatkan MOM supaya mematuhi semua peraturan dan akta berkenaan agar pembangunan sukan di bawah gabungannya dapat dipertingkatkan pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 3:02 PM