MANNY Pacquiao tidak pernah beraksi di Sukan Olimpik. FOTO AFP
MANNY Pacquiao tidak pernah beraksi di Sukan Olimpik. FOTO AFP
AFP

Manila: Manny Pacquiao mengakui "sedih dan kecewa" kerana impiannya untuk tampil dalam acara tinju di Sukan Olimpik Paris berakhir selepas legenda itu tidak dibenarkan beraksi.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menolak permintaan khas untuk Pacquiao mengambil bahagian, umum Jawatankuasa Olimpik Filipina, semalam.

Pacquiao, 45, yang bersara pada 2021 sebelum gagal merebut jawatan Presiden Filipina berkata, dia menghormati keputusan IOC, yang mempunyai had umur 40 tahun untuk petinju Olimpik.

"Walaupun saya sangat sedih dan kecewa, saya memahami dan menerima peraturan had umur," kata Pacquiao, yang memenangi gelaran dunia dalam lapan kategori berat berbeza semasa karier profesionalnya yang cemerlang.

Filipina tahun lalu meminta IOC memberikan 'tempat universal' untuk Pacquiao, yang tidak pernah bertinju dalam Sukan Olimpik.

Tempat universal biasanya diberikan kepada atlet dari negara lebih kecil yang berjuang untuk mendapatkan slot dalam Olimpik melalui kelayakan biasa.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina, Abraham Tolentino mendakwa keputusan IOC akan menafikan negara itu daripada "podium pasti atau emas pertama" dalam acara tinju di Olimpik.

Pacquiao berkata beliau akan terus menyokong dan menceriakan atlet Filipina yang bertanding di Sukan Olimpik.

Dia juga mengingatkan peminatnya bahawa walaupun sudah bersara, dia berhasrat terus memberi kebanggaan dan penghormatan kepada negaranya di dalam gelanggang tinju dalam masa terdekat.

Seorang pembantu Pacquiao mengesahkan kepada pemberita bahawa Pacquiao akan menentang petinju Thailand, Buakaw Banchamek dalam perlawanan pertunjukan 20 April depan di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 12:18 PM