JUARA dunia welterweight, Lucas Matthysse (kiri) sedia pertahan kejuaraan apabila menentang petinju Filipina, Manny Pacquiao di Kuala Lumpur, Julai ini. - Foto AGENSI
JUARA dunia welterweight, Lucas Matthysse (kiri) sedia pertahan kejuaraan apabila menentang petinju Filipina, Manny Pacquiao di Kuala Lumpur, Julai ini. - Foto AGENSI

PROMOTER tinju terkenal, Oscar De La Hoya mengesahkan juara dunia welterweight, Lucas Matthysse akan bertarung mempertahankan gelaran apabila melawan petinju Filipina, Manny Pacquiao di Kuala Lumpur, Julai depan.

Bulan lalu, ikon Filipina itu mengumumkan hasratnya bertarung menerusi satu kenyataan namun sejak itu tiada perkembangan lengkap dihebahkan.

De La Hoya hari ini membuat kenyataan menerusi Twitter mengesahkan pertarungan itu bakal menjadi kenyataan.

“Ia sudah dimeterai, disahkan, dan sudah dihantar: Bangga untuk mengumumkan secara rasmi juara dunia welterweight WBA@MatthysseLucas akan bertemu @mannypacquiao di Kuala Lumpur, Malaysia pada malam Sabtu 14 Julai.”

Bulan lalu Pacquiao, 39, menyatakan pertarungan menentang Matthysse akan berlangsung pada 24 Jun ini.

“Ini pertarungan yang sengit. Matthysse juga pakar pukulan KO. Tapi saya teruja bertarung dan kembali menjadi juara dunia semula,” kata Pacquiao.

“Saya bukan pilihan dalam pertarungan itu nanti tetapi saya sudah biasa dengan keadaan seperti itu. Ia membangkitkan motivasi saya untuk berlatih dan bertarung untuk merebut gelaran itu semula,” katanya yang sudah mengumpul lapan gelaran dunia menerusi lapan kategori.

Pacquiao tidak bertarung sejak kali terakhir tewas menerusi kiraan mata ketika menentang petinju  Australia, Jeff Horn di Brisbane Julai lalu sekali gus menyaksikan dia terlepas gelaran WBO.

Matthysse, yang sudah mencatat 39 kemenangan termasuk 36 menerusi pukulan KO meraih gelaran itu selepas menewaskan petinju Thailand, Teerachai Sithmorseng Januari lalu. -  AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 11:40 AM