NUR Syaiful meraih emas acara 100 meter kuak dada lelaki SB4 di Sukan Para Asia Hangzou 2023, hari ini. FOTO BERNAMA
NUR Syaiful meraih emas acara 100 meter kuak dada lelaki SB4 di Sukan Para Asia Hangzou 2023, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Hangzhou: Atlet renang, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menyumbang pingat pertama kontinjen negara pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022 apabila meraih emas dalam acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal), hari ini.

Pada aksi final di Aquatic Sports Arena, Muhammad Nur Syaiful tiba di garisan penamat dengan mencatatkan satu minit 46.78 saat (s) yang juga rekod baharu temasya.

Muhammad Nur Syaiful mengatasi rekod milik Nguyen Tranh Trung dari Vietnam 1:50.91s yang dilakukan pada temasya 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Wakil tuan rumah, Yin Wenhong meraih pingat perak dengan 1:53.29s manakala gangsa dimenangi seorang lagi atlet Malaysia, Zy Lee Kher dengan masa 2:11.80s.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 28 tahun itu berkata, kejayaan diraihnya kali ini dapat menebus kekecewaannya selepas penyertaan dibatalkan dalam acara sama pada edisi Jakarta-Palembang 2018 kerana masalah teknikal.

"Untuk hari pertama ini saya tidak jangka dapat emas sebab acara ini susah. Tidak sangka dapat perbaharui rekod juga.

"Banyak lagi saya perlu perbaiki, namun saya cukup gembira dapat menebus kekecewaan pada Sukan Para Asia 2018," katanya kepada Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 7:31 PM