AKSI Wendy (kanan) dan Dhabitah dalam acara 3m papan anjal seirama wanita di Sukan Asian Hangzhou. FOTO BERNAMA
AKSI Wendy (kanan) dan Dhabitah dalam acara 3m papan anjal seirama wanita di Sukan Asian Hangzhou. FOTO BERNAMA
Fabian Peter


Hangzhou: Ia adalah hadiah paling bermakna untuk penerjun negara, Wendy Ng, yang meraih pingat perak di Sukan Asia Hangzhou bersama pasangannya, Nur Dhabitah Sabri, hari ini.

Wendy, yang membuat penampilan sulung di Sukan Asia pada edisi Guangzhou 2010 berkata, Hangzhou adalah penampilannya yang terakhir untuk temasya empat tahun sekali itu bagi memberi laluan kepada bakat muda.

Penerjun berusia 30 tahun itu percaya dia membuat keputusan yang tepat untuk terus beraksi bersama Dhabitah selepas Sukan Komanwel Birmingham 2022, kerana persefahaman yang baik antara mereka berdua.

Malah Wendy-Dhabitah berharap berharap dapat membuat penampilan terakhir di Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya membuat penampilan pertama Sukan Asia saya di Guangzhou dan kini saya mengucapkan selamat tinggal di Hangzhou. Dari China ke China, ia adalah pengakhiran yang baik," kata Wendy, yang memenangi perak dalam acara yang sama pada setiap edisi sejak penampilan sulungnya.

Pada 2010, Wendy memenangi perak bersama Leong Mun Yee, diikuti Cheong Jun Hoong di Sukan Incheon pada 2014 dan Dhabitah lima tahun lalu di Jakarta-Palembang.

"Ia bukan mudah tetapi saya memutuskan untuk kekal beraksi kerana mahu memenuhi impian saya. Dhabitah dan saya juga mempunyai persefahaman yang sangat baik.

"Persefahaman sama yang mungkin boleh menyaksikan kami layak ke Sukan Olimpik Paris 2024," tambah Wendy.

Pada aksi final 3m papan anjal seirama wanita hari ini, Wendy-Dhabitah bangkit daripada aksi kurang kemas pada terjunan kedua yang menyaksikan mereka hanya mendapat 36.60 mata, untuk memenangi pingat perak dengan pungutan keseluruhan 270.27 mata selepas lima terjunan.

Penerjun pilihan tuan rumah, Chen Yiwei-Chang Yani memenangi emas dengan catatan 335.73 mata manakala wakil Korea Selatan, Park Har Eum-Kim Su Ji mendapat gangsa (253.56 mata).

Pingat perak itu adalah pingat ketiga diraih Malaysia daripada sukan terjun pada Sukan Asia setakat ini.

Semalam, Dhabitah-Datuk Pandelela Rinong memenangi gangsa dalam acara 10m platform seirama wanita manakala Muhammad Syafiq Puteh-Ooi Tze Liang turut meraih gangsa bagi acara 3m papan anjal seirama lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 7:33 PM