HANNAH pada sidang media di Menara KBS, Putrajaya, hari ini. FOTO Bernama
HANNAH pada sidang media di Menara KBS, Putrajaya, hari ini. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyiasat komen berbaur perkauman dimuat naik seorang pemain hoki wanita negara berhubung konsert AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai perkara itu selain sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk tindakan selanjutnya.

"Respon kami (KBS), saya sudah meminta MSN untuk siasat perkara ini dan dapatkan maklumat lanjut daripada MHC.

"Selepas mendapat pandangan daripada MSN, kita akan buat keputusan. MSN akan membuat perbincangan hari ini dengan MHC. Saya sudah maklumkan kepada Datuk Seri Subahan (Presiden MHC)," kata Hannah dalam sidang media selepas sesi Townhall bersama industri sukan di Menara KBS, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai akaun Instagram dipercayai milik pemain hoki wanita negara didakwa melontarkan komen berbaur perkauman pada ruangan hantaran berkaitan konsert itu.

Menyedari komen itu disalah tafsir membabitkan isu perkauman, pemain itu telah memuat naik permohonan maaf di laman Instagram Story.

"Saya Hanis Nadiah Onn pemain hoki negara dengan penuh rasa rendah diri dan tanggungjawab memohon maaf di atas satu hantaran komen yang dimuat naik secara sedar oleh saya pada 28 Januari lepas.

"Sepanjang penglibatan saya selama 10 tahun dalam sukan hoki, persekitaran saya dipenuhi dengan rakan-rakan berbilang kaum yang sentiasa berjuang untuk negara Malaysia.

"Dengan ini saya berasa menyesal di atas kecuaian saya dan dengan penuh rasa kesedaran sekali lagi saya memohon jutaan kemaafan kepada yang terkesan," tambah pemain berusia 26 tahun itu yang membantu Malaysia merangkul pingat emas di sukan Sea 2015 dan 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 3:14 PM