MALAYSIA membawa pulang dua emas dalam acara poomsae taekwondo. FOTO Fathil Asri
MALAYSIA membawa pulang dua emas dalam acara poomsae taekwondo. FOTO Fathil Asri
Oleh K Rajan


Phnom Penh: Jurulatih poomsae taekwondo negara, Jin Jun Beom memiliki impian besar untuk menjadikan atlet Malaysia sebagai juara dunia.

Jurulatih dari Korea Selatan itu percaya di bawah bimbingannya, atlet negara boleh mengatasi atlet dari negara asalnya selepas aksi cemerlang yang diperagakan baru baru ini termasuklah meraih dua pingat emas dan dua pingat perak menerusi acara poomsae.

Pada tahun lalu, Nurul Hidayah Abdul Karim dan Jason Loo meraih tempat kedua dalam acara berpasangan campuran Bawah 30 pada Kejuaraan Poomsae Taekwondo Dunia 2022 dan Jun Beom percaya atlet Malaysia ada potensi menewaskan Korea Selatan.

Kemenangan yang diraih Nur Humaira Abdul Karim dalam acara poomsae individu wanita selain gandingan Nurul Hidayah-Jason Loo dalam acara poomsae berpasukan campuran memberi petanda yang positif.

"Kita sudah bersaing dalam Kejuaraan Taekwondo Asean di Filipina pada Mac lalu dan masih ada penambahbaikan yang perlu dilakukan dengan kem latihan di Korea Selatan.

"Kita menjalani latihan dan berentap dengan juara dunia dari Korea Selatan sebelum ke Sukan Sea," kata Jun Beom.

"Kita memenangi dua pingat emas di sini tetapi saya rasa kita boleh memenangi lebih banyak pingat. Apapun, ini pencapaian yang baik kerana kita bukanlah penganjur.

"Pada temasya 2017 di Kuala Lumpur, kita memenangi dua pingat emas daripada poomsae dan ini satu pencapaian yang memberangsangkan.

"Atlet kita boleh menjadi bertambah baik dan boleh pergi ke tahap yang lebih tinggi. Saya yakin kita boleh melahirkan juara dunia yang mampu menewaskan atlet taekwondo dari Korea Selatan.

"Atlet kita perlukan lebih banyak pendedahan di peringkat lebih tinggi secara konsisten."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 1:45 PM